Rakyat berbilang kaum sambut Hari Kebangsaan di Pahang

Anggota ATM pada acara perbarisan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan ke-62 di Jalan Mahkota, Kuantan hari ini.
Anggota ATM pada acara perbarisan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan ke-62 di Jalan Mahkota, Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 peringkat negeri Pahang disambut penuh semangat patriotik dan meriah oleh lebih 5,000 penduduk yang hadir menyaksikan perarakan di Jalan Mahkota, di sini hari ini.

Pelbagai lapisan masyarakat dan kaum mula hadir sejak jam 7 pagi lagi bagi menyaksikan perbarisan dan pelbagai persembahan lain.

Semangat patriotik rakyat Pahang dalam menyambut Hari Kebangsaan itu terbukti apabila sambutan yang bermula jam 9 pagi diserikan dengan pengibaran Jalur Gemilang daripada pengunjung.

Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri itu juga dimeriahkan dengan keberangkatan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; barisan Exco Pahang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Sambutan bermula jam 9 pagi dengan pemeriksaan kawalan kehormat oleh Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah diikuti dengan menaikkan bendera Jalur Gemilang oleh 11 Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diiringi dengan nyanyian lagu Negaraku.

Ia disusuli dengan lafaz ikrar Rukun Negara diikuti laungan kemerdekaan sebanyak tujuh kali oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Teruntum, Ahmad Zamil Ikhwan,12, sebagai mengimbas kembali detik sejarah kemerdekaan negara.

Seramai 5,169 peserta yang memakai pakaian pelbagai warna dan corak terlibat dalam perarakan sejauh kira-kira 500 meter bermula di Kompleks Teruntum hingga ke padang Majlis Perbandaran Kuantan 1.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 563 kenderaan dipersembahkan termasuk daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat selain lintas hormat oleh sembilan pesawat Sukhoi SU 30 yang berpangkalan di Gong Kedak, Terengganu.

Persembahan Gerak Tempur Tanpa Senjata dan Kelab Mini Pahang yang mempamerkan koleksi kereta antik turut memeriahkan sambutan kali ini.