Co-op Bank Pertama rai warga SKSB sambut ambang merdeka

Murid SKSB dihiburkan oleh Combee semalam.
Murid SKSB dihiburkan oleh Combee semalam.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Co-op Bank Pertama (CBP) meraikan lebih 500 warga Sekolah Kebangsaan Seri Bayu (SKSB), Teluk Kumbar di sini dalam sambutan ambang kemerdekaan semalam.

Kemeriahan sambutan itu lebih bermakna apabila seluruh warga sekolah berpakaian kebangsaan dan pelbagai etnik di negara ini selain pelbagai acara diadakan bertujuan menyuntik semangat cintakan negara.

Antara aktiviti yang diadakan termasuk persembahan teater, pertunjukan fesyen bertemakan pakaian kebangsaan dan pertandingan menghias basikal yang disertai oleh murid-murid sekolah berkenaan.

Lebih menarik, pada acara kemuncak sambutan tersebut, Jalur Gemilang dikibarkan menggunakan drone yang diterbangkan di sekitar kawasan sekolah.

Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari berkata, program itu adalah kelangsungan aktiviti menyemarakkan semangat menyambut kemerdekaan dalam kalangan murid sekolah yang diadakan saban tahun oleh bank berkenaan.

Menurutnya, pemilihan sekolah itu juga adalah simbolik kepada CBP yang bermula di negeri ini selain mahu menanam semangat patriotisme di peringkat lebih awal iaitu dalam kalangan generasi muda.

"Sempena bulan kemerdekaan, kita mengambil kesempatan untuk berkongsi mesej kemerdekaan bersama-sama murid sekolah yang mana kebebasan daripada penjajahan yang dinikmati mereka ketika ini perlu dipertahankan.

"Murid diingtkan dengan kemerdekaan hari ini berbeza dengan suatu ketika dulu. Zaman sekarang sudah berubah dengan kecanggihan teknologi. Kami di CBP berharap generasi muda bersedia menghadapinya dan melakukan kajian apa yang bermanfaat serta sebaliknya untuk diri sendiri dan tanah air," katanya ketika ditemui semalam.

Artikel Berkaitan:

Azrul Mahathir bersalaman dengan maskot Combee ketika merasmikan sambutan ambang merdeka di SKSB semalam.
Azrul Mahathir bersalaman dengan maskot Combee ketika merasmikan sambutan ambang merdeka di SKSB semalam.

Terdahulu, Kamari Zaman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CBP, Mohd Nor Abd Razak mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz merasmikan sambutan ambang kemerdekaan tersebut di sini.

Menurutnya, penganjuran sambutan ambang kemerdekaan di sekolah adalah fokus CBP dalam program tanggungjawab khidmat sosial (CSR) bank itu yang lebih menjurus kepada pembangunan murid dan sekolah.

"Kita sedang pertimbang untuk menjadikan SKSB sebagai sekolah angkat terbaru CBP untuk dibantu dalam bidang-bidang yang difikirkan sesuai pada masa depan," katanya.

Dalam perasmian itu juga, CBP memperkenalkan maskot Combee iaitu lebah kepada umum sebagai ikon bank tersebut.

"Ini kali pertama kita perkenalkan maskot Combee ini. Kita memilih lebah sebagai ikon untuk mengambil semangat rajin, bekerja keras dan hidup dengan harmoni dalam sesebuah masyarakat," katanya.

Sementara itu, Azrul Mahathir berkata, beliau berharap lebih banyak pihak terutama swasta mengambil inisiatif menganjurkan program bermanfaat dengan murid dan warga pendidik ke arah melahirkan modal insan negara yang berjaya.