Negara aman, rakyat bebas amalkan ajaran agama

Dr Abduk Basit (kiri) bergambar bersama orang ramai yang hadir pada Program Malaysia #QuranHour di Masjis Tengku Muhammad Faris Petra, hari ini.
Dr Abduk Basit (kiri) bergambar bersama orang ramai yang hadir pada Program Malaysia #QuranHour di Masjis Tengku Muhammad Faris Petra, hari ini.
A
A
A

KUALA KRAI - Rakyat negara ini patut bersyukur dapat mengamalkan ajaran agama masing-masing tanpa sebarang ancaman dalam sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa.

Musrif Pondok Sungai Durian, Datuk Dr Abdul Basit Abdul Rahman berkata, ia amat berbeza dengan keadaan pada zaman Nabi Muhammad SAW apabila mereka terpaksa mengamalkan ajaran Islam dalam keadaan bersembunyi, memandangkan pemerintah ketika itu kejam dan zalim sepertimana diceritakan dalam surah Al Kahfi.

Justeru pendekatan diambil Sinar Harian mentadabur surah Al-Kahfi sempena bulan kemerdekaan negara ke-62 amat sesuai bagi sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat pelbagai agama dan bangsa.

Menurutnya, pelbagai kisah yang diceritakan dalam surah tersebut turut dapat dijadikan panduan kepada anggota masyarakat pada hari ini bagi mengekalkan keharmonian.

"Antaranya kisah penganut Islam ketika itu terpaksa masuk ke dalam gua untuk mengamalkan ajaran agama kerana jika ada yang mendapat tahu mereka beriman pasti golongan ini akan dibunuh.

"Selepas dimatikan selama 300 tahun baharu mereka boleh mengamalkan ajaran agama setelah bebas daripada pemerintah yang zalim ketika itu," katanya pada Majlis Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Masjid Tengku Muhammad Faris Petra, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jajahan, Dr Nik Azlan Abdul Hadi; Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji, Mejar (B) Datuk Dr Adnan Hashim serta Pengurus Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Noor.

Abdul Basit berkata, beliau yakin jika isi kandungan surah dipilih dijadikan panduan masyarakat hari ini mampu menjalani kehidupan dalam keadaan aman dan harmoni.

Artikel Berkaitan:

"Surah ini mempunyai hubung kait dengan bulan kemerdekaan negara ke-62 kerana ia bukan sahaja berkisar kepada pemerintahan yang zalim.

"Malah berkaitan dengan usaha memerdekakan diri masing-masing daripada sikap negatif yang berpunca daripada hawa nafsu," katanya.

Tambahnya lagi, beliau juga yakin sekiranya sikap tersebut berjaya diatasi segala usaha ke arah kebaikan yang dirancang bakal direalisasikan.

"Jika kita ada kuasa, bantulah golongan susah dan lemah di samping jujur dalam melaksanakan tugas kerana ia asas sebuah negara yang merdeka serta mempunyai masyarakat majmuk," katanya.

Beliau berkata, paling penting selain penjajahan ketenteraan orang ramai disarankan membebaskan pemikiran masing-masing daripada anasir yang mampu menggugat keharmonian negara.

Terdahulu sekitar 300 penduduk sekitar Kuala Krai mentadabur serta tazakur surah Al Kahfi.