Warga Nigeria diculik kerana enggan agih hasil Love Scam

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gara-gara enggan mengagihkan wang hasil kegiatan Love Scam dari luar negara berjumlah US$49,000 (RM206,559), seorang lelaki Nigeria diculik rakan senegaranya di Batu Caves, Sabtu lalu.

Mangsa berusia 32 tahun itu dilapor dilarikan enam lelaki Nigeria menggunakan dua kereta Honda City dan dia berjaya diselamatkan polis Isnin lalu selepas dua serbuan iaitu di sebuah hotel di kawasan Mahkota Cheras dan di Selayang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, dalam serbuan di Mahkota Cheras, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita manakala di Selayang, dua lelaki ditahan.

“Kesemua yang ditahan itu ialah warga Nigeria berumur 21 hingga 35 tahun dan mangsa ditemui dalam keadaan selamat, tidak cedera.

"Mangsa yang diculik itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah sebagai pelawat manakala kesemua rakyat Nigeria yang ditahan itu tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah," katanya pada sidang media di sini hari ini..

Dalam kes berasingan, polis menahan enam lelaki berusia antara 18 dan 36 tahun yang disyaki aktif melakukan samun dan pecah rumah dalam serbuan berasingan di Rawang, Isnin lalu.

Kumpulan yang diketua lelaki dikenali sebagai Jason itu dikatakan aktif sejak awal tahun ini dengan tumpuan di kawasan taman perumahan teres.

Samsor berkata, pemeriksaan mendapati tiga daripada yang ditahan itu mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah.

Artikel Berkaitan:

Polis masih memburu dua lagi anggota kumpulan itu yang dikenal pasti, katanya. - Bernama