54 jenis kargo dikecualikan AP bagi aktiviti pindah kapal

Anthony Loke Siew Fook
Anthony Loke Siew Fook
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 54 jenis barangan kargo termasuk bahan makanan tertentu akan dikecualikan syarat lesen atau permit import (AP) bagi aktiviti pindah kapal melalui kontena penuh (FCL) di pelabuhan yang berstatus zon perdagangan bebas (FTZ).

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, ini diputuskan oleh mesyuarat Kabinet semalam dan akan dikuatkuasakan apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mewartakan keputusan itu dan perlu dipatuhi semua agensi terlibat dengan mengambil tindakan serta-merta.

"Barangan kargo itu termasuk binatang peliharaan dan liar, kayu-kayan dan bahan makanan seperti beras, kopi, kelapa, madu, buah-buahan, produk tenusu dan daging," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, baki 20 barangan berbahaya yang disenaraikan dalam Jadual Ketiga, Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017, masih memerlukan AP untuk aktiviti pindah kapal atas faktor-faktor keselamatan.

"Ini seperti senjata, mercun, bunga api dan sebagainya. Itu memang dari segi keselamatan memerlukan kawalan lagi dan kita tidak berkompromi. Semua agensi terbabit perlu melaksanakannya (sebaik tarikh diputuskan JKDM).

“Umpamanya kalau ada import barangan makanan, ia melibatkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) atau Jabatan Pertanian. Jadi dengan adanya keputusan dasar ini, mereka perlu mengemas kini perintah Kastam ini," katanya.

Anthony berkata, Kabinet membuat keputusan itu bagi memastikan pelabuhan Malaysia terus berdaya saing dan dapat mengekalkan prestasi sebagai pelabuhan pindah kapal global serta pintu gerbang perdagangan yang kompetitif.

"Keputusan kerajaan ini dijangka menarik syarikat-syarikat perkapalan antarabangsa mengunakan pelabuhan Malaysia sebagai sebagai hab pindah kapal.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, ia akan membantu Malaysia dalam memperkukuh indeks kesalinghubungan perkapalan dengan pelabuhan utama dunia dan ini secara langsung akan membantu pertumbuhan sektor pelaburan negara dan industri hiliran maritim," katanya.

Menurutnya, pelabuhan-pelabuhan Malaysia mengendalikan kontena pindah kapal sebanyak 16 juta TEU atau unit kontena 20 kaki sejak 2015 dan dijangka meningkat dengan kadar pertumbuhan 3.5 peratus menjelang 2022, bergantung kepada persekitaran ekonomi global yang positif. - Bernama