400 jenis barangan dijual pada harga promosi

AEON BiG sentiasa mementingkan kepuasan pelanggan di samping memastikan promosi ditawarkan mengikut keperluan pengguna.
AEON BiG sentiasa mementingkan kepuasan pelanggan di samping memastikan promosi ditawarkan mengikut keperluan pengguna.
A
A
A

KLANG - Penganjuran Orange Day - Big Big Deal di AEON BiG Klang dengan promosi potongan harga runtuh bagi produk terpilih adalah sebagai tanda menghargai pelanggan setia pasar raya ini.

Ketua Perniagaan AEON BiG, Soo Huey Jiuan berkata, program tersebut juga simbolik kepada kempen Jualan Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sebelum ini.

Ujarnya, hampir 400 jenis barangan pelbagai kategori dijual pada harga promosi termasuk kelengkapan rumah, barangan dapur dan peralatan elektrik dalam kempen berlangsung selama 14 jam bermula jam 8 pagi pada Sabtu.

Antaranya ialah paha ayam (RM1.20), udang bersaiz sederhana (RM1.99 -100 gram), sotong (RM1.99 - 100 gram), lobak merah (RM1.90 - 500 gram), lemon (RM4.90 - lima biji) dan anggur merah (RM5.90 - 500 gram).

Huey Jiuan
Huey Jiuan

Jelas beliau, walaupun kempen jualan Orange Day itu hanya berlangsung sehari di cawangan itu, namun pasar raya berkenaan masih mengekalkan promosi sedia ada seperti tawaran istimewa sempena bulan kemerdekaan pada Ogos ini.

“Ini membuktikan bahawa AEON BiG sentiasa mementingkan kepuasan pelanggan di samping memastikan promosi ditawarkan berlangsung sepanjang tahun ini mengikut keperluan pengguna di seluruh negara,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Justeru, beliau berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk mendekati komuniti setempat agar mereka menjadikan AEON BiG sebagai pasar raya pilihan utama bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga yang amat berpatutan.

“Kami juga akan sentiasa berusaha untuk menarik minat pelanggan daripada komuniti setempat dengan menawarkan pengalaman membeli-belah lebih baik dan berharap pelanggan akan kembali ke AEON BiG,” ujarnya.


Barangan ditawarkan AEON BiG adalah berkualiti tinggi selain harga rendah berbanding di tempat lain.
Barangan ditawarkan AEON BiG adalah berkualiti tinggi selain harga rendah berbanding di tempat lain.

Sebelum ini, tema jualan Orange Day dipilih bagi melambangkan warna rasmi pasar raya berkenaan selain memberi tanda ingatan kepada pelanggan terhadap jenama itu yang kini sinonim dengan jualan pelbagai barangan harga rendah.

“Kami juga berharap kempen ini boleh menjadi suatu siri jelajah dan akan diperluaskan ke cawangan-cawangan yang berbeza pada masa depan bergantung kepada kehendak dan keperluan pelanggan kami,” katanya lagi.

Orang ramai yang tidak berkesempatan untuk hadir ke cawangan yang menganjurkan kempen tersebut boleh merujuk laman sosial AEON BiG di Facebook, Instagram dan TikTok bagi mendapatkan maklumat mengenai promosi ditawarkan.

Selain itu, katalog juga diagihkan kepada komuniti terdekat dan cawangan AEON BiG terlibat akan menganjurkan kempen, sekali gus dapat menggalakkan pelanggan untuk merancang pembelian supaya tidak berbelanja berlebihan dan membazir.

Noramayati
Noramayati

Barangan berkualiti

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Noramayati Mohamed Taib, 53, dari Rantau Panjang, Klang, berkata, beliau memilih AEON Big kerana barangan ditawarkan bukan sahaja berkualiti malah harganya lebih rendah berbanding di tempat lain.

“Sebagai peniaga sudah pasti saya mahukan barang mentah yang berkualiti dengan harga berpatutan, atas sebab itu saya memilih AEON BiG dan saya sudah menjadi pelanggan setia mereka sejak dahulu lagi,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, S Ravindran, 47, pula menjadi pelanggan baharu pasar raya berkenaan selepas dimaklumkan rakan-rakannya ada jualan murah sempena Orange Day berlangsung di AEON BiG Klang.

“Ini kali pertama saya datang dan berharap jualan Orange Day ini diteruskan kerana ternyata harga barangan ditawarkan memang murah dan saya agak berpuas hati,” ujarnya yang menetap di Meru, Klang.

Ravindran
Ravindran

Sementara itu, bagi pengunjung warga emas, Mohamad Abduh, 68, yang turut menyokong pandangan itu berharap pihak AEON BiG akan terus mengadakan kempen jualan rendah di pasar raya berkenaan.

“Jualan (kempen) seperti ini bukan hanya dapat membantu masyarakat kurang mampu untuk berbelanja, tetapi juga dapat mengawal kenaikan harga barang di pasaran apabila ia menjadi satu persaingan yang sihat,” kata lelaki tersebut.

Tambahnya, keprihatinan pihak AEON BiG wajar menjadi contoh yang baik kepada pasar raya-pasar raya lain dalam menyahut saranan kerajaan dan menyokong kempen jualan barangan pada harga berpatutan untuk rakyat.