Agong rasmi Floria Diraja Putrajaya 2019

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melambai tangan kepada jurugambar pada Majlis Perasmian Royal Floria Putrajaya 2019 di Taman Botani hari ini. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melambai tangan kepada jurugambar pada Majlis Perasmian Royal Floria Putrajaya 2019 di Taman Botani hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan Floria Diraja Putrajaya 2019, di Taman Botani, Presint 1, Putrajaya.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis itu.

Pada majlis yang sama, Seri Paduka juga berkenan merasmikan koleksi orkid hibrid baharu yang diberi nama ‘Vanda Queen Azizah Iskandar’ bersempena dengan nama Tunku Azizah.

Vanda Queen Azizah Iskandar telah didaftarkan di International Cultivar Registration Authority pada 17 Julai lepas.

Pasangan diraja itu turut meluangkan masa kira-kira sejam melawat sekitar kawasan tapak festival yang turut diiringi Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad dan Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Festival kali ke-11 itu mempamerkan satu juta kuntum bunga-bungaan daripada pelbagai spektrum warna termasuk lebih 500 variasi spesies orkid, lebih 100 koleksi bonsai dan 70 pameran taman dengan pelbagai tema dan reka bentuk.

Dengan sasaran 500,000 pengunjung, Floria Diraja Putrajaya akan dibuka kepada orang awam bermula esok sehingga 8 September yang mengetengahkan orkid dan bonsai sebagai bunga tema pada festival berkenaan.

Selepas 10 tahun bertapak dan ‘berkampung’ di Anjung Floria, Presint 4, buat julung kalinya festival berkenaan menukar lokasinya ke Taman Botani, Presint 1.

Artikel Berkaitan:

Turut disediakan ialah perkhidmatan teksi air yang membolehkan pengunjung menikmati panorama Putrajaya untuk ke Taman Botani melalui jeti yang terdapat di beberapa lokasi terpilih seperti di Cruise Tasik Putrajaya dan Kelab Tasik Putrajaya.

Selain teksi air, PPj turut menyediakan kereta bugi (buggy) kepada pengunjung untuk memudahkan perjalanan mereka bersiar-siar di tapak festival. - Bernama