Gangguan elektrik punca Klinik Kesihatan Sungai Chua ditutup

Klinik Kesihatan Sg Chua terpaksa ditutup dua hari berikutan gangguan bekalan elektrik.(Gambar kecil, Dr Khalid Ibrahim)
Klinik Kesihatan Sg Chua terpaksa ditutup dua hari berikutan gangguan bekalan elektrik.(Gambar kecil, Dr Khalid Ibrahim)
A
A
A

KAJANG - Gangguan bekalan elektrik menjadi punca Klinik Kesihatan Sungai Chua di sini terpaksa ditutup selama dua hari bermula semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, gangguan bekalan yang berlaku di beberapa unit klinik tersebut mengakibatkan perkhidmatan kesihatan terjejas.

Menurutnya, sehingga kini punca gangguan bekalan elektrik belum dapat dikenal pasti dan masih dalam siasatan.

“Pemeriksaan menyeluruh ke atas sistem pendawaian elektrik di klinik kesihatan tersebut telah dijalankan.

“Operasi klinik dihentikan selama dua hari bagi memberi ruang kerja-kerja pembaikan dilakukan dengan efektif,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Dr Khalid berkata, JKNS telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat diteruskan termasuk meminta pesakit mendapatkan rawatan di klinik berdekatan iaitu Klinik Kesihatan (KK) Kajang dan KK Bangi.

Katanya, bagi kes antenatal tidak berisiko, pesakit terpaksa mendapatkan khidmat itu di Klinik Desa Sungai Ramal Luar.

“Pengangkutan disediakan kepada pesakit yang memerlukan untuk ke klinik kesihatan atau klinik desa berhampiran. Kakitangan klinik juga ditempatkan di KK Sungai Chua bagi membantu melancarkan operasi perkhidmatan kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Kami harap masalah gangguan bekalan elektrik dapat diselesaikan secepat mungkin dan berharap kejadian seumpama ini dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya.