Al-Kahf kunci penyelesaian masalah dunia

Sekumpulan kanak-kanak turut berkesempatan membaca surah al-Kahf pada Malaysia #QuranHour di Masjid KUIPSAS hari ini.
Sekumpulan kanak-kanak turut berkesempatan membaca surah al-Kahf pada Malaysia #QuranHour di Masjid KUIPSAS hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Surah al-Kahf adalah kunci kepada penyelesaian masalah dan cabaran dunia masa kini.

Penyelaras Program Malaysia #QuranHour Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak berkata, surah tersebut mempunyai banyak kisah teladan yang boleh diselami dan diteladani dalam kehidupan seharian.

Malah katanya, surah tersebut turut memberi jawapan bagi empat cabaran berkaitan iman, harta, ilmu pengetahuan dan kekuasaan.

“Jadi 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir Al-Kahf dipilih sebagai panduan menghadapi zaman yang penuh cabaran.

“Justeru, kita perlu bersatu membentuk ummah berbudi dan penyayang dengan membawa pesan kemerdekaan daripada al-Quran dalam menangani serta melahirkan rumusan terhadap cabaran akhir zaman,” katanya.

Sebahagian yang menyertai #QuranHour di masjid KUIPSAS hari ini.
Sebahagian yang menyertai #QuranHour di masjid KUIPSAS hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berakhirnya Malaysia #QuranHour di Masjid Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), hari ini.

Kira-kira 800 hadir memeriahkan majlis tersebut yang dirasmikan oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam, Dr Ahmad Effat Mokhtar dan Pengerusi Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Md Abdu Sahak.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kefahaman dari surah tersebut juga mampu menjadi benteng agar ummah berupaya mengemudi kehidupan mengikut panduan al-Quran dari kerangka digariskan ALLAH SWT.

Dalam pada itu, Mohd Rozamli juga berharap usaha menghayati kandungan al-Quran ini akan menjadi rumusan ke arah kesejahteraan ummah seluruhnya.

Seorang peserta, Aishah Rais, 25, berkata, seronok dapat menyertai program berkenaan yang sebelum ini hanya dilihat di televisyen.

“Hari ini saya meluangkan masa hampir setengah jam untuk membaca surah Al-Kahf secara beramai-ramai,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia #QuranHour berlangsung hari ini