Gempa bumi 6.9 magnitud landa Mindanao

Gempa melanda tenggara Davao City itu pada kedalaman 59 kilometer.
A
A

MANILA - FILIPINA. Gempa bumi berukuran 6.9 magnitud melanda pulau Mindanao, selatan Filipina hari ini, kata badan pemantau, menambah ada kemungkinan ancaman tsunami untuk sebahagian Filipina dan negara jiran Indonesia.

Gempa melanda tenggara Davao City itu pada kedalaman 59 kilometer, kata Pusat Kajian Geologi AS (USGS), sementara Pusat Amaran Pasifik Tsunami berkata “ombak tsunami yang berbahaya mungkin berlaku akibat gempa bumi itu” di sepanjang pantai Indonesia dan Filipina.

Bagaimanapun, ombak tsunami diramalkan setinggi kurang daripada 30 sentimeter, kata pusat amaran itu.

Pejabat seismologi kerajaan Filipina berkata bandar-bandar di selatan negara itu merasai gegaran yang sederhana kuat.

Pejabat pertahanan awam wilayah itu berkata setakat ini belum ada laporan kerosakan atau kematian akibat gempa itu.

Filipina dan Indonesia terletak di Lingkaran Api, di rantau Lautan Pasifik di mana banyak gempa bumi dan gunung berapi berlaku. - AFP


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia