Anggota baharu Kabinet Sarawak selesai angkat sumpah

Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud (kanan) menyampaikan watikah pelantikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Lee Kim Shim sebagai Menteri Pengangkutan pada Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan Ahli Majlis Kerajaan negeri di Astana Negeri, Petra Jaya hari ini. - Foto BERNAMA
Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud (kanan) menyampaikan watikah pelantikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Lee Kim Shim sebagai Menteri Pengangkutan pada Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan Ahli Majlis Kerajaan negeri di Astana Negeri, Petra Jaya hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUCHING - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Lee Kim Shim dan ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, masing-masing mengangkat sumpah sebagai Menteri Pengangkutan dan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud berlangsung di Astana Negeri, Petra Jaya di sini hari ini.

Kedua-dua ADUN itu dilantik selepas rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Khamis lepas.

Rombakan Kabinet itu dibuat susulan peletakan jawatan Datuk Seri Wong Soon Koh sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan dan juga Menteri Kewangan Kedua pada 15 Julai lepas.

Kim Shim sebelum ini memegang jawatan sebagai Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan kini tempat beliau diganti oleh Chiew Yew.

Sementara itu, Chiew Yew berkata, beliau berterima kasih kepada Ketua Menteri dan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah selaku Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menjawat jawatan itu.

“Saya akan berkhidmat dengan penuh tanggunjawab dan bekerjasama dengan menteri-menteri dalam kerajaan negeri demi pembangunan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas tamat istiadat mengangkat sumpah Ahli Majlis Kerajaan Negeri itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: