Pekerja maut jatuh bersama forklift

Keadaan forklift yang dinaiki mangsa selepas jatuh dari tingkat tiga.
Keadaan forklift yang dinaiki mangsa selepas jatuh dari tingkat tiga.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Seorang warganegara Pakistan maut selepas terjatuh daripada tingkat tiga di sebuah tapak pembinaan pusat beli belah di tengah bandar raya ini, di sini, malam tadi.

Difahamkan kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 50 tahun sedang mengendali jentera forklift sebelum hilang kawalan dan terjatuh dari aras tersebut.

Perkara itu dimaklumkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor yang kini telah mengeluarkan notis pemberhentian bagi sebarang kerja dilakukan di tapak berkenaan.

Pengarahnya, Ir Dasuki Mohd Heak berkata, arahan pemberhentian itu adalah bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan selain sebagai langkah pencegahan sebelum berlakunya kejadiaan tidak diingini seperti itu.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa juga merupakan pengendali forklift yang tidak terlatih dan tidak pernah mengikuti latihan pengendalian forklift dengan cara selamat.

“Ketika kejadian, mangsa difahamkan telah ditugaskan oleh penyelia untuk mengendalikan forklift bagi melakukan kerja-kerja binaan di aras tiga tapak pembinaan itu.

“Selepas selesai memindahkan sebuah bekas air ke tempat yang diarahkan, mangsa kemudian memandu forklift ke tempat lain sebelum hilang kawalan dan melanggar pengadang (balustrade) yang menyebabkan dia bersama forklift yang dipandu terjatuh ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dasuki berkata, kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, berhubung kejadian itu, notis yang dikeluarkan kepada syarikat pembinaan berkenaan juga adalah kerana kegagalan untuk mengadakan tempat kerja yang selamat.
Artikel Berkaitan:


“Tindakan perundangan akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) ke atas pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!