Pekerja maut dihempap forklift

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KLANG - Seorang pekerja lelaki warganegara Pakistan berusia 20 tahun maut akibat dihempap forklift dalam satu kejadian di Pulau Indah, dekat sini awal pagi semalam.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor dalam satu kenyataannya berkata, kemalangan tersebut dilaporkan berlaku pada Rabu sekitar jam 2 pagi di sebuah kilang pemprosesan kertas.

Sehubungan kejadian itu, katanya, JKKP Selangor telah mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan, sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.

"Daripada siasatan awal dijalankan, JKKP Selangor mendapati bahawa mangsa telah memandu forklift secara mengundur dengan laju dan fork dinaikkan pada aras tertinggi.

"Ketika sampai di tempat kejadian, mangsa telah membuat 'pusingan U' secara mengejut, menyebabkan forklift tersebut terbalik dan menghempap badan mangsa.

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa maut di tempat kejadian," kata kenyataan itu pada Khamis.

Menurutnya, susulan itu, JKKP Selangor telah mengeluarkan notis pembaikan untuk membuat perancangan melibatkan 'housekeeping' secara berkala di kawasan tempat kerja kepada majikan.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.

Tegasnya lagi, JKKP Selangor akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab, sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Tambah kenyataan itu, pihak JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

Kata kenyataan itu, majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

Selain itu katanya, majikan juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

Jelasnya, ia bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan.

"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)," ujarnya.