KKM, KPM digesa pantau aktiviti jualan makanan ringan

Asha terpaksa ditahan di wad selama empat hari selepas mengalami keracunan makanan.
Asha terpaksa ditahan di wad selama empat hari selepas mengalami keracunan makanan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) disaran supaya memantau penjualan makanan ringan kepada murid sekolah khususnya di sekitar kawasan Taman Sri Gombak.

Saranan itu disuarakan seorang bapa, Salahuddin Haris Yoganathan, 38, selepas hantaran di laman Facebook miliknya tular berhubung nasib malang menimpa anak sulungnya, Asha Azaleah Natasha Natahn, 6, yang mengalami keracunan makanan.

Salahuddin berkata, pemantauan itu perlu dilaksanakan secara berterusan oleh pihak terlibat berikutan penjualan makanan ringan yang tidak mendapat kelulusan akan mengundang risiko bahaya seperti yang dialami anaknya.

"Saya tak mahu murid-murid sekolah lain berdepan nasib sama seperti anak saya. Sebab itulah KKM dan KPM perlu memantau sebarang aktiviti penjualan makanan ringan ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Hantaran yang dimuat naik Salahuddin pada Selasa lalu telah dikongsi oleh 421 pengguna laman sosial dan mendapat 222 komen daripada netizen yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan tindakan peniaga tersebut.

Makanan ringan berisi gula-gula dan mainan yang dijual oleh peniaga terbabit.
Makanan ringan berisi gula-gula dan mainan yang dijual oleh peniaga terbabit.

Mengulas lanjut mengenai kejadian menimpa anaknya itu, Salahuddin berkata, dia membeli makanan ringan berisi gula-gula dan mainan di sebuah kedai berhampiran rumahnya sekitar Taman Sri Gombak pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, selepas memakan gula-gula tersebut, anaknya mengalami muntah dan cirit-birit sehingga perlu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Pada hari pertama kejadian, anak saya muntah hampir 20 kali dan dia juga tidak mempunyai selera makan. Malah Asha juga perlu ditahan di wad kanak-kanak HKL selama empat hari sebelum dibenarkan pulang pada Selasa lalu," katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, pihaknya telah membuat laporan kepada KKM berhubung penjualan makanan ringan tersebut yang dikhuatiri mengandungi kandungan berbahaya.

Katanya, dia turut membuat laporan di Balai Polis Gombak pada Selasa lalu bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap pengilang makanan ringan terbabit.

"Alhamdulillah keadaan anak saya kini semakin pulih dan saya harap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan sebaiknya.

"Tujuan saya memanjangkan perkara ini kepada pihak berkuasa adalah bagi meningkatkan kesedaran dan memberi peringatan kepada ibu bapa tentang bahaya makanan ringan yang tidak mendapat kelulusan ini," katanya.