Nahas ambulans: Tunggu laporan penuh siap

Laporan Sinar Online berhubung nahas ambulans yang mengorbankan dua nyawa di KM368.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Tanjung Malim pada 4 Ogos lalu. (Gambar kecil: Dr Ding Lay Ming)
Laporan Sinar Online berhubung nahas ambulans yang mengorbankan dua nyawa di KM368.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Tanjung Malim pada 4 Ogos lalu. (Gambar kecil: Dr Ding Lay Ming)
A
A
A

IPOH - Punca sebenar kemalangan ambulans hingga mengorbankan dua nyawa berhampiran Tanjung Malim pada 4 Ogos lalu hanya akan diketahui apabila keputusan siasatan dimuktamadkan Kementerian Kesihatan.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, buat masa ini siasatan berhubung kes itu masih dijalankan.

"Di pihak jabatan kita telah kemukakan semua laporan berkaitan kepada kementerian dan sudah tentu siasatan dijalankan bukan dari satu aspek sahaja sebaliknya melibatkan beberapa kemungkinan lain.

"Jadi kita tunggu laporan penuh kementerian untuk berikan apa-apa penemuan dalam siasatan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Saintifik Forensik Psikiatri kali kedua di Dewan Seri Perak, Institut Latihan Kesihatan Malaysia, Tanjung Rambutan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu termasuklah mengaitkannya dengan penyelenggaraan kenderaan.

Katanya, mana-mana pemeriksaan kenderaan jabatan memang dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kita tidak sepatutnya membuat andaian sendiri, lebih baik kita tunggu laporan penuh siap," katanya.

Dalam kejadian di Kilometer 368.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan itu, pemandu ambulans, Mohd Hafidz Mohd Bahari, 37, dan pesakit, Azizah Dolah, 66, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Laporan awal menyebut nahas dipercayai berpunca daripada tayar belakang sebelah kanan yang pecah sebelum ia hilang kawalan dan terbabas melanggar pembahagi jalan.