Syria Care sasar bantuan musim sejuk RM2.53 juta

Lam Thye (dua dari kiri) menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kemanusian Syria Care 2019 yang disaksikan Siti Sakinah (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Kempen BMS 7.0 di Laman 83, Bukit Jelutong, Shah Alam semalam.
Lam Thye (dua dari kiri) menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kemanusian Syria Care 2019 yang disaksikan Siti Sakinah (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Kempen BMS 7.0 di Laman 83, Bukit Jelutong, Shah Alam semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan kemanusian, Syria Care menyasarkan kutipan sebanyak RM2.53 juta sumbangan bagi misi Bantuan Musim Sejuk Syria Care 7.0 (BMS 7.0) pada tahun ini.

Pengerusinya, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak bagi menjayakan misi kemanusian itu.

Menurutnya, sumbangan akan disalurkan kepada pelarian di tiga negara iaitu Syria, Lubnan dan Turki.

"Kita telah buat persiapan menghantar tiga kontena terdiri daripada 13,000 selimut, 5,000 jaket berkualiti tinggi, 5,000 masing-masing topi dan kasut but.

"Kami juga menerima sumbangan pakaian musim sejuk daripada orang ramai di Surau Al-Munawwarah, Seksyen 13, Shah Alam bermula Sabtu ini sehingga Isnin depan.

"Barangan yang dikumpul ini akan diagihkan sebelum musim sejuk yang dijangka melanda negara berkenaan pada November depan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen BMS 7.0 di Laman 83, Bukit Jelutong di sini semalam.

Siti Sakinah berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan di negara terbabit bagi membolehkan pengagihan sampai ke tempat yang memerlukan bantuan.

Menurutnya, gerak kerja penyaluran bantuan juga berubah mengikut keperluan penduduk di sesebuah kawasan yang memerlukan bantuan.

Artikel Berkaitan:

"Contohnya, pada awal tahun lalu tumpuan penyaluran bantuan kami di Selatan Damsyik, namun berlaku serangan di kawasan tersebut menyebabkan ramai penduduk berpindah ke Utara Syria.

"Apabila penduduk berpindah ke sana (Utara Syria) gerak kerja kami juga memberi tumpuan di Utara Syria yang memerlukan bantuan," katanya.

Sementara itu, Duta Keamanan dan aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, beliau amat sedih dan terkesan dengan kesengsaraan yang dilalui penduduk Syria.

"Mereka bukan sahaja berhadapan dengan hujan peluru dan bom, malah menghadapi masalah kekurangan makanan dan pelbagai kemudahan yang menjadi keperluan asasi mereka.

"Setiap hari ramai yang tercedera atau terbunuh akibat persengketaan dan kebencian yang mengatasi segala-galanya," katanya.

Justeru beliau berharap, lebih ramai pihak mengambil inisiatif membantu mereka yang memerlukan termasuk di kawasan peperangan.