Jururawat ditemui mati dalam rumah

Seorang jururawat wanita ditemui dalam keadaan tertiarap dan tidak bernyawa di dalam rumah yang didiaminya seorang diri di Taman Desa Molek malam semalam.
Seorang jururawat wanita ditemui dalam keadaan tertiarap dan tidak bernyawa di dalam rumah yang didiaminya seorang diri di Taman Desa Molek malam semalam.
A
A
A

MELAKA - Seorang jururawat wanita ditemui dalam keadaan tertiarap dan tidak bernyawa di dalam rumah yang didiaminya seorang diri di Taman Desa Molek di sini, malam semalam.

Mayat Laili A Majid, 54, ditemui di dalam bilik tidurnya oleh sepasukan anggota polis selepas menerima laporan kira-kira jam 8 malam daripada seorang jirannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, wanita berkenaan dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

"Laporan dibuat oleh jirannya selepas bimbang wanita itu tidak keluar dari rumahnya sejak Ahad lalu.

"Mayatnya dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan hasil maklumat awal si mati dikatakan menghidap kanser payu dara tahap empat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, jiran si mati, Rohani Harun, 49, ketika ditemui memberitahu, kejadian itu disedarinya selepas wanita itu tidak menyahut panggilan kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

"Saya datang ke rumah arwah untuk memberikan bihun goreng tetapi selepas berkali-kali memanggilnya, dia tidak juga keluar rumah.

"Saya dan beberapa penduduk di sini memang mengambil berat tentang arwah yang bertugas di Hospital Melaka malah saya turut menjaga makan minumnya selepas tahap kesihatan wanita itu tiba-tiba merosot baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya sangkakan dia berkecil hati dengan saya kerana tinggalkannya untuk menghantar anak yang menyambung pelajaran di Selangor pada Jumaat lalu, tidak sangka pula ini yang berlaku," katanya.

Jelasnya, arwah sebelum ini hanya mengadu sakit di kaki dan urat sarafnya, namun enggan mendapatkan rawatan dan memberitahu penyakit yang dihidapi.

Sementara itu, Raiz Mukhliz berkata, setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.