X

Kindly register in order to view this article
!

Seleweng dana biasiswa RM2.4 juta

Mohd Hanafi (kiri) dibawa keluar dari kamar mahkamah selepas mengaku tidak bersalah terhadap 146 pertuduhan pecah amanah dana biasiswa pelajar sekolah bernilai lebih RM2.4 juta.
A
A

MELAKA - Seorang bekas pembantu tadbir Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) didakwa di Mahkamah Seksyen Ayer Keroh di sini semalam atas 146 pertuduhan pecah amanah dana biasiswa pelajar sekolah bernilai lebih RM2.4 juta.

Tertuduh, Mohd Hanafi Ismail, 31, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut kesemua pertuduhan, Mohd Hanafi didakwa melakukan pecah amanah dan menyalahgunakan harta iaitu peruntukan biasiswa pelajar sekolah di dalam Melaka bagi tahun 2017 yang berjumlah keseluruhan RM2.404 juta.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Unit Kewangan Tapem, Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh antara 23 Januari 2017 hingga 22 Disember 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun hingga maksimum 14 tahun dan dengan sebatan serta hendaklah dikenakan denda.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat dan Nik Haslinie Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan dengan mengambil kira jumlah dan nilai tinggi pertuduhan namun mencadangkan RM500,000 dikenakan bagi kesemuanya jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara selain beberapa syarat tambahan.

Tertuduh yang diwakili tiga peguam iaitu Emirul Sarifudin Nor Azmi, Ahmad Hafiz A Bakar dan Kenneth Kasa bagaimanapun, merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan terpaksa menanggung ibu bapa yang tidak bekerja selain empat adiknya masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM250,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan memerintahkan lelaki itu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mohd Nasir kemudian menetapkan 2 Oktober depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!