Malaysia, Rusia kerjasama bendung keganasan antarabangsa

Malaysia, Rusia
Malaysia, Rusia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Rusia berhasrat meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara terutamanya dalam perkongsian maklumat bagi membendung keganasan antarabangsa, kata Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini.

Mempengerusikan bersama mesyuarat dua hala Malaysia-Rusia semalam, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Rusia Nikolai Patrushev bertukar pandangan mengenai pelbagai aspek hubungan dua hala termasuk cabaran keselamatan, kerjasama pertahanan, memerangi pengedaran dadah, keselamatan siber serta menangani jenayah terancang dan ekstremisme.

Mohamad juga menyatakan sokongan Malaysia terhadap kerjasama dengan Rusia pada masa akan datang dalam bidang keselamatan siber, dan mengulangi hasrat Malaysia untuk meningkatkan kerjasama industri pertahanan menerusi perkongsian pintar serta usaha sama strategik perniagaan antara Malaysia dan syarikat pertahanan Rusia.

Delegasi Malaysia, diketuai Mohamad terdiri daripada Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Kementerian Pengangkutan, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maratim Malaysia.

Patrushev berada di Malaysia untuk lawatan rasmi dua hari bermula semalam.- Bernama

Artikel Berkaitan: