Pluto adalah sebuah planet, kata pentadbir NASA

Pada 2006, Pluto diklasifikasikan sebagai planet kerdil oleh IAU.
Pada 2006, Pluto diklasifikasikan sebagai planet kerdil oleh IAU.
A
A
A

WASHINGTON - Pluto pernah dianggap sebagai sebuah planet, namun Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) mengubah status itu 13 tahun lalu dan diklasifikasikan sebagai planet kerdil.

Ramai ahli astronomi tidak bersetuju dengan keputusan itu berikutan ia pernah dianggap sebagai planet paling jauh dalam Sistem Suria.

Pentadbir Agensi Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA), Jim Bridenstine adalah antara individu yang berpendapat Pluto masih harus diklasifikasikan sebagai sebuah planet.

Beliau menyatakan pendapatnya tentang planet kecil itu ketika lawatan ke Bangunan Kejuruteraan Sains Aeroangkasa di University of Colorado Boulder pada akhir minggu lalu.

"Pada pandangan saya, Pluto adalah sebuah planet. Anda boleh tulis Pentadbir NASA mengisytiharkan Pluto sebagai planet sekali lagi.

"Saya berpegang kepada perkara itu. Itu adalah cara saya belajar dan saya komited dengannya," ujarnya.

Walaupun pandangan Bridenstine itu tidak akan mengubah status Pluto secara rasmi, kenyataannya itu menyokong pendirian untuk mengklasifikasikan semula ia sebagai planet.

Pada 2006, IAU menetapkan definisi lain untuk planet yang mana ia perlu mengorbit matahari, mempunyai bentuk hampir bulat dan lingkungan sekitar orbit yang jelas.

Artikel Berkaitan:

Pluto bagaimanapun tidak memenuhi kriteria ketiga yang memerlukan orbit planet perlu 'bersih' daripada sebarang objek.

Orbit Pluto yang dipenuhi objek kecil dan berais menyebabkan ia diklasifikasikan sebagai planet kerdil. - Agensi