Skuad Sabil setia berkhidmat

FIKRAH

A
A
A

ALHAMDULILLAH tanggal 25 Ogos 2019 yang lepas telah sempurnalah Kursus Siri Pertama Skuad Sabil (sebuah pasukan sukarelawan di bawah Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia) oleh Yang Berhormat Datuk Seri Zahid Hamidi, Presiden UMNO. Ini menandakan bahawa pasukan ini telah mula digerakkan bagi membina pengisian sebagai persediaan untuk berkhidmat demi agama, bangsa dan tanahair.

Nama skuad ini diinspirasikan daripada perkataan Sabil yang digarapkan daripada ilmu Fekah yang bermaksud “Setiap perkara yang diperintahkan ALLAH daripada kebaikan, kebiasaan penggunaannya pada jihad di jalan ALLAH.”

Jadi perkataan Sabil dapat diertikan sebagai apa sahaja amal kebajikan dan kebaikan yang memberi manfaat kepada ummah serta memperoleh keredaan ALLAH SWT dan Skuad Sabil pula sebagai pasukan yang melakukan kebaikan dan kebajikan buat ummah serta mengharapkan keredaan ALLAH SWT

Skuad ini dianggotai oleh anak-anak muda UMNO Malaysia secara sukarela dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan dalam masyarakat. Mereka juga bersedia pada bila-bila masa untuk mencurahkan bakti kepada masyarakat sewaktu ditimpa bencana dan musibah serta sebagai anggota keselamatan dan kesejahteraan khas buat para pemimpin dan peserta di dalam program-program himpunan rakyat.

Skuad ini diwujudkan secara bertanzim dan bersistem di mana ia membolehkan peserta tidak sahaja mampu untuk mencurahkan khidmat bakti namun turut melatih mereka untuk bekerja secara sistematik, berkumpulan dan terancang. Ia juga merupakan satu platform baharu bagi para sukarelawan Pemuda UMNO Malaysia untuk mendalami ilmu berorganisasi dan berpasukan.

Platform ini dijangka dapat melahirkan para pemuda matang yang sentiasa meletakkan kebajikan dan manfaat kepada masyarakat sebagai keutamaan. Selari dengan maksud hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud “Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberikan manfaat kepada manusia lain.”

Bagi memberikan sumbangan yang lebih banyak kepada masyarakat maka skuad ini diwujudkan dengan modul-modul serta pengisian yang terancang.

Pengisian tidak sahaja mengambil kira pembentukan jasmani berdaya tahan tetapi juga roh dan idealisme mantap berdasarkan teras Islam sebagai Ad-Din, tunjang dan paksinya.

Artikel Berkaitan:

Skuad ini digagaskan untuk melahirkan sukarelawan yang sentiasa bersedia dengan roh, akal, dan jiwa UMNO yang sentiasa 'setia' dan 'sedia' untuk berkhidmat bagi membela Islam, mempertahankan maruah bangsa dan memperkasakan negara berlandaskan Perlembagaan Negara.

Kita mengetahui bahawa disiplin adalah satu-satunya teras penting bagi satu-satu badan beruniform. Ia bukan bermaksud untuk melatih ala-ala ketenteraan tetapi sebaliknya teras disiplin beruniform adalah satu kaedah terbaik dalam melatih anak-anak muda ini.

Kerana itu, sudah tiba masanya untuk anak-anak muda ini disalurkan di bawah satu organisasi beruniform khusus untuk membina sahsiah dan disiplin yang tinggi.

Skuad ini tidak akan sesekali menyaingi mana-mana pasukan keselamatan tetapi sebaliknya ia bakal menjadi pelengkap yang sentiasa mendokong segala undang-undang negara demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Skuad ini berada di dalam kerangka keselamatan negara dengan bertindak berlatar belakangkan kepentingan bersama dengan kedaulatan negara sebagai keutamaan dan Perlembagaan Negara sebagai panduan.

Jika sebelum ini kita bergerak secara sendiri-sendiri serta bersifat setempat berdasarkan keperluan, namun kini dengan adanya Skuad Sabil, maka ia menjadi lebih tersusun. Wadah dan hala tuju menjadi lebih jelas serta berdisiplin. Pemantauan tindak tanduk akan menjadi lebih terancang dengan mempunyai garis panduan tersendiri.

Skuad ini lebih hampir kepada masyarakat kerana ia didasarkan kepada akar umbi dengan bersifat secara setempat.

Lebih hampir kerana mereka lebih memahami waqi’ dan hal ehwal semasa dengan didampingi secara terus oleh anak-anak muda prihatin.