Hukuman kerja sosial menanti pesalah rokok

Dr Dzulkefly (dua dari kiri) merasmikan Pelan Strategi Kebangsaan untuk Hepatitis B dan C 2019-2023 pada perhimpunan bulanan Kementerian Kesihatan di Putrajaya. -Foto Bernama
Dr Dzulkefly (dua dari kiri) merasmikan Pelan Strategi Kebangsaan untuk Hepatitis B dan C 2019-2023 pada perhimpunan bulanan Kementerian Kesihatan di Putrajaya. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Hukuman kerja sosial seperti membersihkan tandas, memungut sampah dan memotong rumput sedang dipertimbangkan bagi pesalah peraturan larangan merokok di tempat awam, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, hukuman kerja sosial lebih efektif berbanding denda wang ringgit.

“Hukuman denda akan membuat orang berfikir kalau ada duit boleh buat kesalahan. Jadi, saya melihat kepada hukuman kerja sosial ini dengan teliti,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bulanan Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Mohd Shafiq Abdullah; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon.

Dr Dzulkefly turut mengingatkan warga kerja KKM supaya menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat dengan menghormati perintah larangan merokok berkenaan di premis kementerian dan di tempat awam.

Sambil berseloroh, beliau yang menyifatkan peratus warga KKM yang masih merokok sebagai ‘rahsia besar’ di kementerian, dan terpaksa menerima hakikat ada warga kementeriannya sendiri tidak dapat berhenti daripada tabiat merokok.

Bermula 1 Januari 2019, peraturan larangan merokok dikuatkuasakan di semua restoran dan warung sama ada yang bertutup, berhawa dingin mahupun yang berkonsep terbuka termasuk di tepi jalan.

Perokok yang ditahan di kawasan larangan akan didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan bagi pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok pada awalnya ditetapkan selama enam bulan kemudiannya dilanjutkan sehingga akhir Disember ini.

Menurut Dr Dzulkefly, 129,180 premis sudah diperiksa sehingga kini dengan notis amaran larangan merokok sudah dikeluarkan mencecah 30,698. - Bernama