Pakar kesihatan digesa kongsi maklumat dengan masyarakat

Dzulkefli berucap merasmikan Mesyuarat Kementerian Kesihatan dan Akademi Perubatan Malaysia’ kali ke-13 di Institut Kesihatan Malaysia (NIH), di sini hari ini. - Foto: BERNAMA
A
A

SHAH ALAM - Semua pakar dalam bidang kesihatan termasuk doktor diseru berkongsi maklumat berkaitan kesihatan dengan masyarakat terutamanya pesakit, sebagai usaha mendorong mereka mengamalkan gaya hidup sihat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu dilihat perlu supaya masyarakat sentiasa sedar yang mereka sebenarnya memainkan peranan dan tanggungjawab penting untuk menjaga kesihatan masing-masing.

“Kita boleh memberdayakan dan mendorong masyarakat supaya mereka juga boleh terlibat secara aktif dalam menghasilkan gaya hidup dan persekitaran yang sihat.

“Untuk menghasilkan ini, adalah mustahak menyediakan alat yang mendorong langkah pro-aktif dalam kalangan pesakit. Alat itu termasuk informasi, mewujudkan lebih banyak peluang untuk membuat keputusasn bersama, di samping dengan jelas memperakui bahawa pesakit mempunyai peranan dan tanggung jawab aktif dalam penjagaan kesihatan,” katanya.

Dzulkefli berucap merasmikan Mesyuarat Kementerian Kesihatan dan Akademi Perubatan Malaysia’ kali ke-13 di Institut Kesihatan Malaysia (NIH), di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Interim NIH Dr Goh Pik Pin.

Jelas Dr Dzulkefly, langkah itu akan turut memperkasakan masyarakat untuk menjaga kesihatan mereka selain memupuk hubungan rapat dan langsung dalam kalangan individu dengan pakar kesihatan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pakar-pakar kesihatan supaya sentiasa bersedia dan berusaha untuk menambahbaik sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan.

"Perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menjadikan rakyat sebagai fokus utama, dilihat sebagai langkah komprehensif yang mampu meningkatkan kualiti kesihatan negara," katanya. - Bernama