Rakyat digesa perkukuhkan perpaduan

Tengku Hassanal beramah mesra sambil mengurniakan sumbangan kepada asnaf pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Baru Huma Luas Mukim Bukit Segumpal hari ini.
Tengku Hassanal beramah mesra sambil mengurniakan sumbangan kepada asnaf pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Baru Huma Luas Mukim Bukit Segumpal hari ini.
A
A
A

MARAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah menggesa rakyat di negeri ini agar memperkukuh dan memperkasakan lagi perpaduan dalam keadaan suasana negara yang berdepan pelbagai cabaran hari ini.

Baginda bertitah, rakyat juga digesa untuk bersama-sama mempertahankan agama dan institusi raja yang selama ini menjadi tunjang kekuatan dan memayungi serta melindungi rakyat.

"Kesucian Islam dan institusi raja perlu dipertahankan agar ia terus kekal untuk masa depan generasi akan datang, negara dan bangsa.

"Dalam suasana kita bakal meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-62 ini, wajarlah perpaduan yang dipupuk sejak sekian lama diperkukuhkan lagi," titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah demikian dalam Titah Diraja sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Baru Huma Luas Mukim Bukit Segumpal di sini hari ini.

Dalam Titah Diraja itu, baginda turut mengalu-alukan pandangan atau cadangan daripada penduduk setempat dalam isu-isu berkaitan pembangunan, sosial dan alam sekitar bagi membantunya memahami dengan lebih mendalam permasalahan mereka.

"Saya amat gembira bila dimaklumkan masyarakat di Chenor khasnya dan Maran amnya hidup dalam keadaan harmoni dan saling bekerjasama antara satu sama lain.

"Saya juga berterima kasih kepada penduduk Kampung Baru Huma Luas dan penduduk sekitar yang hadir ke majlis pengurniaan sumbangan dan ramah mesra ini selain bersama-sama bergotong-royong membaik pulih surau hari ini," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Baginda bertitah, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan peruntukan sebanyak RM28,000 untuk kos baik pulih surau Kampung Baru Huma Luas dan RM20,000 untuk mangsa kebakaran di Kampung Jengka Batu 13 di sini serta sumbangan kepada 120 asnaf dari Mukim Kertau dan Mukim Bukit Segumpal.