Brazil tolak bantuan negara G7

Kawasan di hutan hujan Amazon berhampiran Porto Velho di Rondonia yang musnah terbakar.
A
A

BRASILIA - Brazil menolak tawaran bantuan negara G7 yang mahu membantu negara itu mengawal kebakaran besar hutan hujan Amazon.

Jurucakap kerajaan bagaimanapun tidak menyatakan sebarang alasan tentang keputusan tersebut, namun Presiden Jair Bolsonaro mendakwa Perancis memperlakukan negara itu seperti sebuah 'tanah jajahan'.

Menteri Pertahanan, Fernando Azevedo e Silva turut mengesahkan kebakaran tersebut masih terkawal dan kira-kira 44,000 tentera sudah dikerah untuk menangani krisis itu dan jenayah alam sekitar di Amazon.

Semalam, Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang menjadi hos Sidang Kemuncak G7 di Biarritz selama tiga hari yang berakhir kelmarin memaklumkan bantuan AS$22 juta (RM92 juta) akan disalurkan kepada Brasilia.

Ketika mengulas tentang tawaran bantuan G7 itu, Ketua Turus, Onyx Lorenzoni memberitahu laman Globo News,'Terima kasih. Tetapi, sumber itu lebih relevan untuk menghutankan semula Eropah'.

"Macron sendiri tidak boleh mengelakkan kebakaran di Notre Dame di Paris. Kini, beliau mahu 'mengajar' kami?" katanya dalam nada sinis.

Menurutnya, Brazil juga boleh 'mengajar' mana-mana negara bagaimana untuk melindungi hutan asli. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran hutan Amazon makin merebak

Kebakaran hutan hujan Amazon beri kesan buruk