Ahli perniagaan didakwa terima RM1.14 juta deposit haram

Rosman (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tiga pertuduhan menerima deposit haram membabitkan RM1.14 juta.
Rosman (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tiga pertuduhan menerima deposit haram membabitkan RM1.14 juta.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tiga pertuduhan menerima deposit haram membabitkan RM1.14 juta daripada beberapa individu, sejak empat tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Rosman Jamal, 39, didakwa tanpa memiliki lesen sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) telah menerima deposit daripada Shahrizal Abdul Malek menerusi 10 kali transaksi berjumlah RM375,500.

Bapa kepada empat anak itu juga didakwa menerima deposit daripada Harun Musa menerusi enam kali transaksi berjumlah RM772,800.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Tadisma Business Park, Seksyen 13, Shah Alam antara Januari 2016 dan 13 Januari 2017.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 137 (1) akta yang sama dan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-dua sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat menawarkan jaminan sebanyak RM160,000, bagaimanapun peguam Jason Singh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan rendah atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali menetapkan RM45,000 sebagai jaminan dengan seorang penjamin.

Sebagai syarat tambahan, tertuduh diperintah melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan selain pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Sebutan kes ditetapkan pada 26 September depan.

Media melaporkan pada April tahun lalu, seramai 28 individu membuat laporan polis terhadap Yayasan Amanah Niaga yang didakwa menipu melibatkan wang pelaburan sehingga menyebabkan kerugian RM4.7 juta.