X

Kindly register in order to view this article
!

Bapa dua anak dijel sembilan bulan kerana curi RM50

Tertuduh, Mohd Nor'Azmi mengaku mencuri RM50 di dalam sebuah kereta yang diletakkan di hadapan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Bapa kepada dua anak dijatuhkan hukuman sembilan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mencuri RM50 di dalam kereta milik seorang pendaki di Bukit Besar di sini.

Keputusan dibuat selepas tertuduh, Mohd Nor'Azmi Zulkifli, 34, mengaku salah ke atas pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri RM50 di dalam kereta jenis Proton Iswara milik Kamarul Muda, 46, di kawasan parkir di hadapan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu kira-kira jam 9 pagi pada 30 Julai lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun penjara atau dengan denda atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan kali pertama dan boleh dikenakan sebatan bagi kesalahan kedua jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohimadin di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada 30 Julai lalu, pemilik kenderaan, Kamarul (pengadu) yang mendaki Bukit Besar Hoking Park turun dari bukit berkenaan kira-kira jam 9 pagi dan terus menuju ke keretanya yang diletakkan di hadapan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu.

Setibanya di situ, pengadu ternampak seorang lelaki tidak dikenali (tertuduh) sedang duduk di tempat duduk pemandu dan menyelongkar kereta.

Pengadu memberanikan diri menegur tertuduh dan memberitahu kereta itu miliknya sebelum tertuduh melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna putih yang diletakkan di kawasan berhampiran.

Seterusnya, pengadu membuat pemeriksaan di dalam keretanya dan mendapati RM50 sudah hilang dipercayai dicuri tertuduh.