Hina Skuad Sabil: Pemuda UMNO gesa polis siasat Tze Tzin

Sekretariat NGO Pemuda UMNO berkumpul secara aman di hadapan IPD Kuantan selepas membuat laporan, semalam.
Sekretariat NGO Pemuda UMNO berkumpul secara aman di hadapan IPD Kuantan selepas membuat laporan, semalam.
A
A
A

KUANTAN - Sekretariat badan bukan kerajaan (NGO) Pemuda UMNO Malaysia membuat laporan polis terhadap kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin yang didakwa bersifat rasis dan biadab, di Ibu pejabat Polis Daerah Kuantan di sini semalam.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Hashim berkata, Tze Tzin menerusi akaun Twitter miliknya menggelarkan Skuad Sabil yang ditubuhkan Pergerakan Pemuda UMNO adalah 'Pak Guard dari Bangladesh'.

"Pada status itu beliau turut meletakkan gambar Skuad Sabil iaitu kumpulan sukarelawan Pemuda UMNO Malaysia bersama Presiden UMNO dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

"Kenyataan ini memberi gambaran salah yang boleh memberi persepsi kepada orang awam terutama pengguna Twitter dan media sosial bahawa Pemuda UMNO adalah pendatang asing dari Bangladesh," katanya selepas membuat laporan polis di sini.

Muhammad Faiz menegaskan, kenyataan itu merupakan fitnah jahat yang akan menjatuhkan maruah Pemuda UMNO.

Beliau memohon pengguna Twitter tersebut disiasat di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan Seksyen 500 Kanun sama kerana melakukan fitnah.

Skuad Sabil adalah sukarelawan yang tidak berbayar atas keikhlasan serta semangat yang tinggi untuk berkhidmat melakukan kebajikan terhadap rakyat.

Skuad ini berjaya menarik minat ramai anak muda dan NGO yang melambangkan kebangkitan, penyatuan serta semangat untuk menyumbang bakti kepada rakyat.

Artikel Berkaitan: