Perbezaan politik bukan halangan saling menghormati

Tengku Hassanal menyantuni masyarakat orang asli Kampung Sungai Enggang, Lanchang hari ini.
Tengku Hassanal menyantuni masyarakat orang asli Kampung Sungai Enggang, Lanchang hari ini.
A
A
A

TEMERLOH - Rakyat diminta supaya tidak menjadikan perbezaan politik sebagai penghalang untuk saling menghormati antara satu sama lain.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bertitah, rakyat perlu bersatu padu demi kemajuan dan kesejahteraan bersama.

Titahnya, jika ada sebarang ketidakpuasan hati, rakyat hendaklah menyalurkan pendapat atau rintihan mengikut saluran-saluran yang telah disediakan.

"Ini untuk memastikan ia berlandaskan undang-undang dan dapat diselesaikan tahap yang memuaskan hati.

"Wakil-wakil rakyat, penghulu, pengerusi MPKK dan pihak NGO perlu menyampaikan rintihan dan masalah rakyat kepada pihak-pihak berkenaan supaya dapat diambil perhatian dan seterusnya mengatasi masalah-masalah dengan segera," titahnya.

Beliau bertitah sedemikian dalam majlis ramah mesra bersama masyarakat orang asli Kampung Sungai Enggang, Lanchang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal meminta orang asli yang berjaya dalam pelbagai bidang dan profesion wajib melibatkan diri secara aktif untuk membangunkan masyarakat berkenaan selain tidak menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan semata-mata.

"Mereka hendaklah tampil ke hadapan, berperanan sebagai model untuk pemangkin, memberikan inspirasi kepada anak-anak orang asli agar lebih ramai mereka yang berpotensi dapat dibangunkan.

Artikel Berkaitan:

"Anak-anak orang asli perlu disemai dengan keyakinan diri hingga mereka berani keluar daripada alam persekitaran hidup sekarang untuk mencipta kejayaan lebih besar.

"Dalam semangat membina keyakinan diri mereka, badan-badan sukarela, amal kebajikan, pertubuhan, pendidikan dan sukan hendaklah turut menganjurkan program melibatkan penyertaan masyarakat ini," titahnya lagi..