TTTS tarikan pelancongan baharu di Temerloh

Tengku Hassanal meluangkan masa meninjau TTTS dalam lawatan kerjanya di tapak tersebut.
Tengku Hassanal meluangkan masa meninjau TTTS dalam lawatan kerjanya di tapak tersebut.
A
A
A

TEMERLOH - Projek Temerloh Titik Tengah Semenanjung (TTTS) bakal menjadi tarikan terbaru destinasi pelancongan di daerah ini yang turut sinonim dengan gelaran Bandar Ikan Patin.

Terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang, projek yang menelan belanja kira-kira RM11.788 juta itu dijangka dibuka kepada pengunjung secara rasmi pada Oktober depan.

Pengurus Kanan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Mahadir Abidin berkata, projek yang turut meliputi Monumen Ikonik TTTS, Monumen Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) itu berjaya disiapkan pada 22 Ogos lalu.

Menurutnya, TTTS adalah antara usaha dilaksanakan kerajaan dan sebagai salah satu Projek Strategik ECER untuk mempelbagaikan tarikan di negeri itu khusus di Temerloh.

"Buat masa ini kita sedang membersihkan dan memperbetulkan beberapa perkara dan dalam Oktober akan dibuka serta diserahkan kepada pemilik bertanggungjawab iaitu Majlis Perbandaran Temerloh (MPT).

"TTTS adalah usaha untuk mempromosikan Temerloh sebagai bandar Titik Tengah Semenanjung, selain menjadi sebahagian destinasi laluan berbasikal dan bermotor, pusat maklumat pelancongan serta tempat tarikan sekitar daerah ini," katanya.

Tengku Hassanal meninjau Monumen Ikonik TTTS yang turut dibina di tapak projek tersebut.
Tengku Hassanal meninjau Monumen Ikonik TTTS yang turut dibina di tapak projek tersebut.

Beliau berkata sedemikian ketika taklimat TTTS yang menyaksikan keberangkatan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah di tapak tersebut hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, ADUN Kuala Semantan, Nor Azmi Mat Ludin dan ADUN Mentakab, Woo Chee Wan.

Tengku Hassanal turut meluangkan masa meninjau TTTS selain bergambar kenangan di hadapan kedua-dua monumen terbabit.

Selain monumen tersebut, TTTS yang menggunakan konsep hentian sebelah menawarkan plaza komersial iaitu empat gerai, tandas, wakaf, surau, tempat persinggahan bas pelancong, komuniti basikal, motosikal berkuasa tinggi, kawasan rekreasi dan permainan kanak-kanak.

Memiliki keluasan kira-kira 1.7 hektar, ia mula dibina pada Februari tahun lalu.

Kampung itu telah dikenal pasti di Lot 2082 sebagai Titik Tengah Semenanjung Malaysia (TTSM) oleh Jupem pada 2009 dengan latitud 03°29' 33" (Utara) dan longitud 102° 13' 10" (Timur).