Tahun baharu Malaysia Baharu!

A
A

BEBERAPA hari sahaja lagi tahun 2018 bakal melabuhkan tirainya. Pejam celik sudah lebih enam bulan Pakatan Harapan menawan Putrajaya serta majoriti negeri di Malaysia.

Setakat ini, harapan Malaysia Baharu masih samar. Tiada kelihatan jelas sebarang perancangan kerajaan PH dalam membawa Malaysia maju ke hadapan kecuali menyalahkan segalanya kepada kepimpinan kerajaan BN terdahulu. Sudah lebih setengah tahun kerajaan PH mentadbir negara, ekonomi negara masih tidak stabil sepenuhnya. Masih banyak janji kerajaan PH dalam manifesto mereka yang belum berjaya dilunaskan. Alasan demi alasan diberikan sehinggakan rakyat jadi muak.

Ditambah pula dengan prestasi para menteri kita. Menteri-menteri yang sering dihentam rakyat seperti Dr Maszlee, Lim Guan Eng, Waytha Moorthy, Syed Saddiq dan lain-lain masih seakan lambat untuk belajar tentang segala salah dan silap mereka sebagai menteri.

Dr Maszlee begitu berambisi tinggi hingga sukar untuk rakyat menghadam segala perancangan beliau dalam cubaan untuk mereformasi sistem pendidikan negara.

Lim Guan Eng masih kekal dengan kesilapan dalam penulisannya. Sekejap salah titik perpuluhan, sekejap salah tatabahasa, kemudian salah itu dan ini pula. Belum lagi dikira dengan sikap beliau yang suka membuat pengumuman semberono mengenai kondisi kewangan negara tanpa mengambil kira risiko tertentu seperti kemungkinan keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia tergugat.

Waytha Moorthy pula masih kekal ego dan enggan meletakkan jawatan di atas pelbagai kesilapan. Isu beliau memfitnah negara kononnya rakyat beragama Hindu didiskriminasikan teruk di Malaysia masih belum selesai sebenarnya. Belum lagi disentuh isu beliau menipu kononnya tiada harta untuk diisytiharkan kepada SPRM.

Syed Saddiq pula? Entah bagaimana Syed Saddiq sebagai seorang menteri mempunyai begitu banyak masa untuk menghadiri pelbagai program hiburan sama ada di stesen-stesen TV, konti-konti radio dan sebagainya. Malah, anak raja juga turut mahu bergaduh dengan Syed Saddiq!

Benar, prestasi majoriti menteri kita masih di tahap tidak memuaskan. Tetapi, masih ada sekitar 4 tahun lagi untuk mereka bekerja keras membuktikan bahawa mereka adalah menteri yang bagus, melainkan Tun Dr Mahathir menggugurkan mereka daripada barisan Kabinet atau Datuk Seri Anwar menggantikan Tun sebelum tamat penggal ini. Jika Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri, sudah tentu barisan Kabinet hari ini secara automatik terbubar dan perlu dipilih semula oleh Anwar sebagai perdana menteri.

Semakin tahun baharu mendekati kita, diharapkan Malaysia baharu akan semakin nyata dan pembaharuan demi pembaharuan dapat dilaksanakan. Semoga kepimpinan kerajaan PH hari ini akan lebih mengutamakan kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat berbanding tembolok masing-masing mahupun mengejar pangkat.

Impian kita sebagai rakyat Malaysia bersempena dengan tahun baharu ini, kita mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang maju, aman dan makmur. Rakyat tidak lagi ditindas di negara sendiri, sama ada atas dasar agama, ras bangsa mahupun seksualiti. Rakyat tidak lagi merasa tertekan dengan keadaan ekonomi semasa sehingga memaksa kita untuk mengikat perut.

Kita harapkan Malaysia Baharu ini lebih ke arah mesra dan memahami kehendak serta keadaan rakyat. Dalam menjaga tembolok kewangan negara, kebajikan rakyat jangan dilupakan. Hanya kerana mahu menambah pendapatan negara, jangan sampai pelbagai cukai hendak diperkenalkan hingga menekan hidup rakyat.

Semoga tahun baharu ini akan membawa beribu makna kepada Malaysia dan rakyatnya. Semoga kerajaan PH hari ini berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu setiap kali mereka gagal untuk melaksanakan sesuatu perkara kerana rakyat tidak memilih PH untuk mendengar pelbagai alasan doyok. Jika rakyat mahu mendengar pelbagai alasan kurang bijak sebegitu, buat apa rakyat menukar kerajaan?

Kita akan terus berharap agar Malaysia Baharu akan membawa erti yang cukup signifikan kepada ketelusan dan kebersihan dalam sistem pengurusan dan pentadbiran kerajaan Malaysia. Diharapkan agar segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa akan semakin berkurangan.

Semoga Tuhan merahmati Malaysia. Selamat Tahun Baharu, Malaysia Baharu!

*Penulis adalah pemerhati senario politik Negaraku


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.