Rumah retak: Penduduk mohon perhatian kerajaan negeri

Sebahagian penduduk yang mendiami 18 unit rumah di Taman Pertam Jaya, Ujong Pasir di sini meluahkan tidak puas hati mereka terhadap masalah keretakan rumah yang didakwa berlaku sejak projek pembinaan empat blok pangsapuri sembilan tingkat di hadapan kawasan perumahan mereka, empat tahun lalu.
A
A

MELAKA - Kira-kira 100 penduduk yang mendiami 18 unit kediaman di Taman Pertam Jaya, Ujong Pasir di sini berdepan masalah keretakan rumah sejak projek pembinaan pangsapuri di hadapan kawasan perumahan mereka empat tahun lalu.

Penduduk turut mendakwa sebelum ini mereka hanya dibayar RM300 sahaja sebagai pampasan habuk selepas aduan dilakukan.

Ada juga yang terpaksa mengeluarkan kos di antara RM2,000 hingga RM30,000 bagi membaiki kerosakan itu tetapi masalah masih berterusan.

Penduduk, Rohana Yaakub, 40, berkata, masalah itu berlarutan sejak mereka mendiami rumah itu pada 2015.

Katanya, dia membelanjakan sebanyak RM30,000 untuk membaiki keretakan rumahnya.

"Kami terpaksa berdepan masalah debu pasir, keretakan dinding dan mendapan lantai.

"Semua penduduk menghadapi masalah sama dan terpaksa mengeluarkan wang untuk membaiki kerosakan," katanya ketika ditemui.

Warga emas, Saadiah Yusof, 72, berkata, dia sudah berhabis lebih RM15,000 untuk membaiki kerosakan jubin, sistem paip dan keretakan lantai yang mendap.

"Mendapan menyebabkan terbentuk ruang sehingga satu sentimeter antara lantai dan dinding. Keadaan itu berulang walaupun beberapa kali dibaiki," katanya.

Lebih membimbangkan katanya, ruang itu menjadi sarang haiwan berbisa seperti lipan dan ular," katanya.

Seorang lagi penduduk Redzuan Baharin, 33, merayu kerajaan membantu penduduk menyelesaikan masalah itu.

"Kami belum lagi bersemuka dengan pemimpin untuk menceritakan masalah yang dihadapi tetapi akan berbuat demikian ketika majlis perasmian pangsapuri berkenaan di hadapan taman ini yang dijadualkan hujung bulan ini," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia