Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya

 Isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Toh Puan Majimor Shariff (tengah) menyampaikan ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri hari ini. Turut sama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (kiri). - Foto Bernama
Isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Toh Puan Majimor Shariff (tengah) menyampaikan ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri hari ini. Turut sama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (kiri). - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Kajian kebolehlaksanaan bagi projek pembinaan terowong dasar laut masih belum siap sepenuhnya dan dan kajian tersebut kini dalam peringkat 90 peratus penelitian, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, pada masa ini draf laporan itu masih diperiksa oleh jurutera perunding bebas yang dilantik, HSS Engineers Bhd (Jurutera HSS).

“Setelah segalanya dibereskan di pihak jururunding, baharulah ia akan dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi kelulusan. Ia merupakan proses timbal balik, setelah mereka (Consortium Zenith Construction Sdn Bhd) kemukakan kepada HSSI, HSSI akan kaji dan memberi komen sebelum menghantar semula kepada Zenith bagi penambahbaikan.

“Ia masih pada tahap 90 peratus, kerajaan negeri sentiasa menerima maklumat yang dikemas kini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2019 yang dirasmikan oleh Toh Puan Majimor Shariff, isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.

Projek terowong sepanjang 7.2km itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai itu adalah di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

Sementara itu ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini yang menyatakan komitmen untuk menaiktaraf sistem perkhidmatan feri Pulau Pinang termasuk pelan memperkenalkan bot jenis Catamaran apabila ia dilihat bakal memberi kesan kepada projek terowong dasar laut, Chow berkata tiada sebarang keputusan dibuat lagi pada masa ini.

"Tiada keputusan lain selain meneruskan kajian kebolehlaksanaan.Tetapi (terowong) bukan keutamaan, keutamaan adalah lebuh raya (dari lebuh raya) dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. Kami berharap dapat memulakannya dalam tempoh dua bulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain berhubung laporan sebuah akhbar berbahasa Cina berkaitan perbezaan harga kereta unit baru Toyota camry 2.5 CBU yang dibeli oleh kerajaan Pulau Pinang berbeza dengan Perak, Kon Yeow menjelaskan Pulau Pinang tidak mendapat pengecualian cukai.

"Tidak ada pengecualian cukai, jadi kami membelinya dengan harga pasaran, Perak mungkin telah mendapatnya (pengecualian cukai). Itulah sebabnya perbezaan harga," katanya. - Bernama