Polis Marin tangkap 10 lelaki Vietnam, rampas dua kapal

Warga Vietnam yang ditahan ketika Op Pensura Khas di kawasan perairan Pulau Langkayan.
A
A

SANDAKAN - Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua kapal bersama 10 lelaki warga Vietnam kerana disyaki menjalankan aktiviti menangkap hasil laut secara haram di dua lokasi perairan negara Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, mereka ditahan anggota PPM Wilayah 4 Sabah ketika Op Pensura di kawasan perairan Sandakan dan Pulau Langkayan.

Menurutnya, dalam operasi di Pulau Langkayan polis terpaksa menggunakan siren dan pembesar suara bagi mengarahkan kapal terbabit supaya berhenti.

Bagaimanapun, katanya juragan memecut laju kapal dan enggan berhenti malah cuba melanggar bahagian starboard bot anggota marin.

“Selepas hampir 20 minit dikejar, kapal bersama lima kru itu berjaya ditahan. Pemeriksaan lanjut menemukan polis dengan peralatan menangkap timun laut dalam kapal berkenaan.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Pangkalan PPM Sandakan untuk pemeriksaan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM815,000,” katanya.

Kapal yang dirampas dalam operasi dijalankan PPM Wilayah 4 Sabah petang Selasa lalu.
Kapal yang dirampas dalam operasi dijalankan PPM Wilayah 4 Sabah petang Selasa lalu.

Sementara itu, polis menahan lima lelaki warga Vitenam dan merampas dua tong berisi timun laut ketika menjalankan rondaan di Markas Operasi PPM Sandakan, Jalan Buli Sim-sim, di sini petang Selasa lalu.

Beliau berkata, turut dirampas tiga set peralatan menangkap timun laut yang ditemui dalam kapal berkenaan dan jumlah keseluruhan barangan dirampas termasuk

sebuah kapal dianggarkan bernilai RM805,000.

“Kes disiasat Jabatan Perikanan Cawangan Sandakan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti menangkap hasil laut di perairan negara,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia