Lampard belum puas hati

Lampard mengakui persembahan pemainnya ketika kemenangan 3-2 ke atas Norwich belum memuaskan hatinya.
A
A

PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard belum berpuas hati walaupun pasukannya berjaya menewaskan Norwich City 3-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris semalam.

Menurutnya, dia kecewa kerana The Blues hanya mampu menang tipis dan bolos dua gol, namun gembira kerana Chelsea mampu mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan liga musim ini.

"Ini perlawanan yang sukar dan Norwich bermain dengan baik. Saya tidak suka dengan dua gol yang kami lepaskan tetapi banyak elemen bagus dalam permainan kami hari ini.

"Pujian khusus perlu diberikan kepada Tammy Abraham dengan dua golnya. Saya juga ingin memuji semua pemain saya. Mungkin persembahan ini bukanlah yang terbaik tetapi kami sudah berjaya menyelesaikan misi untuk mencari tiga mata," katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Carrow Road itu, Chelsea membuka tirai jaringan menerusi Abraham pada minit ketiga sebelum disamakan Todd Cantwell tiga minit kemudian.

Pemain muda The Blues Mason Mount kembali meletakkan pasukan di hadapan pada minit ke-17 dan sekali lagi disamakan oleh penyerang sensasi Norwich, Teemu Pukki sebelum Abraham muncul selaku wira Chelsea dengan meledak gol pada minit ke-68.

Chelsea tampil dominan dalam perlawanan itu dengan 53 peratus penguasaan bola dan 23 percubaan ke arah gol.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia