PN Negeri Sembilan puas hati agihan kerusi PRN

Ahmad Faizal (tengah) pada sidang akhbar diadakan di Bilik Gerakan PN Negeri Sembilan.
Ahmad Faizal (tengah) pada sidang akhbar diadakan di Bilik Gerakan PN Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Semua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan berpuas hati dengan jumlah kerusi yang akan ditandingi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah berkenaan buat masa ini bagi mengelakkan berlakunya perdebatan di peringkat bawahan.

"36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) semuanya akan ditandingi PN. Saya tak fikir kita perlu beritahu jumlah pembahagian kerusi kerana bagi saya kita bergerak dan bekerja sebagai satu pasukan.

"Tapi pembahagian kerusi itu memadai dan kesemua parti komponen amat berpuas hati. Kami juga tiada masalah antara satu sama lain," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan PN Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.

Sementara itu beliau berkata, semua parti telah pun menghantar senarai calon untuk dipertimbangkan bertanding di setiap kerusi yang ditandingi mereka.

Ujarnya, kesemua senarai tersebut telah pun dihantar kepada kepimpinan tertinggi parti dan buat masa ini ia dalam proses saringan.

"Biasanya di setiap DUN tak kurang dari tiga nama dan ada hantar dua nama. Kita juga ada dapat cadangan nama dari sumber-sumber lain.

"Tapi untuk kesemua 36 DUN itu dah 'solid' dihantar kepada pucuk pimpinan dan sekarang proses saringan," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, potensi PN mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan cukup tinggi, namun mengakui kekuatan pihak lawan.

Tambahnya, kajian yang dilakukan pihaknya juga mendapati ada perubahan ketara terutama dalam kalangan pengundi Melayu yang sebelum ini menyokong BN tetapi kini telah beralih kepada PN.

"Sebelum ini (Pilihan Raya Umum Ke-15) kita tiada menang kerusi Parlimen. Jadi kami kena kerja lebih kuat berbanding orang lain," katanya.