Kebersihan tandas awam tanggungjawab bersama: Muhammad Bakhtiar

Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau bersama orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang pada Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Parlimen Balik Pulau di SMK Bayan Lepas malam tadi. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau bersama orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang pada Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Parlimen Balik Pulau di SMK Bayan Lepas malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Tanggungjawab menjaga kebersihan tandas awam bukan hanya terletak pada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kontraktor pembersihan sebaliknya semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan negara sentiasa dalam keadaan bersih dan indah.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, rakyat Malaysia seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada negara luar dengan mempraktikkan amalan kebersihan bukan sahaja di tandas awam malah di semua tempat.

"Kita mohon kerjasama semua untuk menjaga tandas-tandas awam termasuk PBT, jangan berharap kepada kontraktor cuci sahaja sebaliknya kita sendiri apabila masuk tandas, kita kena pastikan sebelum keluar tandas itu bersih seperti mana kita masuk.

"Tahun depan adalah Tahun Melawat Malaysia 2020. Kita menyasarkan 37 juta pelancong akan datang ke Malaysia. Rakyat Malaysia mestilah menunjukkan satu contoh yang baik dan antara contoh yang baik adalah menjaga kebersihan negara kita," katanya selepas merasmikan program sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat Parlimen Balik Pulau dekat sini malam tadi.

Beliau mengulas mengenai isu tandas awam kotor yang dibangkitkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 13 Ogos lalu.

Dr Mahathir menyatakan bahawa beliau malu dengan keadaan tandas awam di negara ini yang kotor dan busuk yang menurutnya mencerminkan masyarakat Malaysia tidak mempunyai tanggungjawab sivik.

Sementara itu, Muhammad Bakhtiar yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, kementeriannya mengadakan banyak program 'Voluntourism Malaysia Bersih dan Indah' iaitu program berbentuk sukarelawan untuk mendidik dan memupuk amalan kebersihan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata menerusi program itu, orang awam boleh mengambil bahagian dengan menjalankan aktiviti pembersihan seperti 'plogging' atau ‘trash hero’ ketika berada di destinasi pelancongan.

Artikel Berkaitan:

"Kita banyak program voluntourisme yang kementerian buat untuk memupuk nilai bersih dalam kalangan rakyat Malaysia. Malaysia bersih dan indah bukan hanya di tandas awam sahaja malah di tempat-tempat awam pelancongan.

"Selain itu, destinasi pelancongan seperti pantai, trek hutan lipur, taman permainan dan taman bunga. Kita buat banyak program untuk memupuk nilai kebersihan," katanya.

Menurutnya, kementerian sedang menyediakan dana untuk program seumpama itu dalam usaha meningkatkan kesedaran seluruh masyarakat betapa pentingnya menjaga kebersihan. - Bernama