Teater Puteri Gunung Ledang dengan mesej kemerdekaan

Aroy (duduk, kanan) selaku pengarah bersama tiga watak utama pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang.
A
A

IPOH - Selepas kejayaan pementasan teater muzikal Hantu Kak Limah, Taman Tema Animasi Studio (MAPS) tampil dengan naskhah baru kali ini menerusi kisah legenda popular, Puteri Gunung Ledang (PGL) yang akan menemui penonton pada Ogos dan September ini.

Mengangkat tema penolakan dalam penerimaan, kisah cinta, kesetiaan dan nilai persahabatan yang menjadi tunjang utama cerita diberikan nafas baharu untuk disesuaikan dengan sambutan Bulan Kebangsaan.

Pegawai Eksekutif Kandungan Kreatif dan Perhubungan Awam MAPS, Elli Farhana Azisman berkata, pemilihan naskhah PGL adalah tepat bagi menyemarakkan lagi rasa cintakan negara.

Menurutnya, ia bukan sahaja sarat dengan mesej positif, bahkan erti pengorbanan yang ditunjukkan mampu menaikkan lagi semangat patriotisme penonton.

Elli Farhana
Elli Farhana

“Umum mengetahui kekuatan kisah ini, begitu juga dengan kehebatan pementasan-pementasan sebelum ini, jadi atas faktor itu MAPS terpanggil untuk bersama menjayakannya.

“Ini satu kelainan yang kita bawa sebagai satu pengisian sempena sambutan kemerdekaan dan ia juga merupakan usaha MAPS, sebuah destinasi pelancongan di negara ini untuk mengangkat semula kisah legenda itu agar tidak dilupakan generasi akan datang,” katanya.

Teater muzikal Puteri Gunung Ledang akan dipersembahkan selama empat hari bermula 30 dan 31 Ogos serta 1 dan 2 September ini di MAPS Theatre.

Menariknya, naskhah kali ini menggunakan sepenuhnya tenaga kerja produksi daripada kakitangan MAPS sendiri bermula daripada pengarah, pelakon, penari dan pemuzik yang mempunyai pelbagai latar belakang seni.

Teater itu menceritakan tentang Sultan Mahmud Shah yang telah didatangi mimpi seorang puteri dan beliau mengarahkan para laksamana diketuai Tun Mamat dan Hang Tuah untuk mencari keberadaan puteri tersebut serta membawa rombongan meminang. Sepanjang perjalanan itu, pelbagai liku dan dugaan dihadapi mereka bersama sehingga bertemu dengan Puteri Gunung Ledang.

Meskipun begitu, terdapat syarat untuk mereka menemui Puteri Gunung Ledang dan disebabkan itu terjadinya pengkhianatan dan salah faham antara Hang Tuah dan Tun Mamat kerana mengikut syarat, hanya Hang Tuah dibenarkan bertemu dengan Puteri Gunung Ledang.

Ketika itulah berlakunya salah faham antara Tun Mamat dengan Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang hingga ke pengetahuan Sultan. Sultan yang murka terhadap Hang Tuah telah mengusirnya ke luar negeri.

Sementara itu, Mohd Asrul Nin Zaini atau lebih dikenali sebagai Aroy yang bertindak selaku pengarah berkata, di sinilah bermulanya kemuncak penceritaan dalam teater muzikal yang dipersembahkan.

Katanya, umum mengetahui kisah percintaan antara Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang, namun persembahan kali ini mengungkap sisi berbeza menerusi watak Tun Mamat yang belum pernah lagi diangkat dalam mana-mana pementasan.

“Kita tampilkan kelainan dengan mengetengahkan sisi lain sebagai fokus utama dengan harapan penonton mendapat satu input baharu menerusi persembahan PGL ini.

“Penonton tidak perlu khuatir kerana setiap penambahan dan olahan dibuat masih mengekalkan jalan cerita asal, hanya diberi nafas baharu untuk menguatkan lagi mesej yang nak disampaikan.“Menerusi watak Tun Mamat ini, penonton dapat menilai erti pengorbanan sebenar di sebalik setiap penerimaan dan penolakan yang dibuat,” katanya.

Sebahagian daripada tenaga produksi yang terlibat dalam menjayakan pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang yang bakal menemui penonton pada 
30 dan 31 Ogos ini serta 1 dan 2 September depan.
Sebahagian daripada tenaga produksi yang terlibat dalam menjayakan pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang yang bakal menemui penonton pada 30 dan 31 Ogos ini serta 1 dan 2 September depan.

Beliau yang pernah terlibat dalam pementasan Muzikal Tun Mahathir dan Impak Maksima mengakui bukan mudah untuk membawa naskhah masyhur itu ke pentas teater, namun tetap berbangga dengan komitmen lebih 50

tenaga kerja yang terlibat meskipun mereka bukanlah dalam kalangan profesional.

Jelasnya, persediaan bagi pementasan itu telah dimulakan sejak Julai lalu dan sehingga kini telah mencapai 70 peratus.

Naskhah hasil olahan skrip oleh Hazrul Aswad Hamadan dan Nur Syahirah Shamsul Hasni ini membariskan watak Puteri Gunung Ledang yang dilakonkan oleh Nor Ashuaa Atiqah Abd Malik, Amirul Hadi Abd Rahman sebagai Hang Tuah dan Mohammad Mustaqim Rosly watak Tun Mamat.Orang ramai yang ingin menyaksikan teater muzikal ini boleh mendapatkan tiket pada harga RM30 bagi dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak, pelajar serta warga emas atau tempahan menerusi 05-5015662.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia