PH tidak pernah terima LGBT, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Muhyiddin Yassin - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Bersatu memberi jaminan Islam masih selamat di Malaysia bukan seperti digembar-gemburkan dalam pendekatan politik perkauman pembangkang.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan keyakinan bahawa semua pemimpin PH tidak akan sesekali membenarkan amalan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di negara ini.

Katanya, selepas Umno dan Pas kalah dalam PRU14, kedua-dua parti ini mengambil pendekatan politik perkauman dan agama yang ekstrem semata-mata untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

"Modal politik mereka hari ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah membangkitkan sentimen perkauman orang Melayu supaya menentang kerajaan PH.

"Mereka menabur fitnah kononnya orang Islam sudah tidak selamat di Malaysia, kedudukan Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam akan terjejas, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) akan dihapuskan dan undang-undang membenarkan amalan LGBT dan perkahwinan sejenis akan diluluskan Parlimen.

"Telahan pembangkang ini ternyata meleset sama sekali. Raja-raja Melayu masih bersemayam sebagai ketua agama Islam, Jakim masih tegak berdiri, dan mustahil undang-undang membenarkan amalan LGBT dan perkahwinan sejenis diluluskan Parlimen yang majoriti Ahli Parlimen adalah orang Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya ketika berucap dalam perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi dan Armada Bersatu di PICC, di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri turut memberi keyakinan bahawa Ahli Parlimen bukan Islam pun ramai yang tidak bersetuju dengan amalan LGBT yang bertentangan dengan ajaran agama masing-masing.

"Malah, semua pimpinan PH telah sepakat untuk mendokong kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Dengan kata lain, kedudukan agama Islam akan terus terpelihara di bawah pentadbiran kerajaan PH.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun jelas di depan mata kita bahawa kedudukan agama Islam terus terpelihara, Umno dan Pas terus menabur fitnah perkauman dan agama semata-mata untuk memburukkan kerajaan PH di mata umat Islam," katanya.