[VIDEO] Isu Zakir Naik: Kelantan berterima kasih kepada Dr Mahathir

Ahmad menyembur air di Pasar Besar Kedai Buloh sebagai gimik perasmian program tersebut hari ini.
Ahmad menyembur air di Pasar Besar Kedai Buloh sebagai gimik perasmian program tersebut hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kekal dengan pendirian beliau untuk tidak menghantar penceramah bebas, Dr Zakir Naik kembali ke negara asalnya.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob memuji tindakan Dr Mahathir yang tidak tunduk dengan desakan pelbagai pihak agar pendakwah prolifik itu dihantar pulang sejak tercetusnya isu sentimen keagamaan.

Menurutnya, biarpun perdana menteri adalah daripada parti berbeza tetapi beliau telah membuat perkara yang betul dan secara logiknya perlu disokong.

“Saya sangat berterima kasih atas sikap baik (Dr Mahathir) yang kekalkan dan tidak hantar Dr Zakir balik.

“Ini juga kerana pendakwah (Dr Zakir) telah memberitahu sesuatu yang baik,” katanya kepada media pada Karnival Kelantan Bersih Sihat dan Perangi Denggi di Pasar Besar Kedai Buloh hari ini.

Semalam Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa Dr Zakir kekal tinggal di Malaysia dan sebelum ini di awal berlakunya isu berkenaan beliau telah mengeluarkan pendirian tidak akan mengusir penceramah tersebut.

Dr Zakir berdepan masalah dengan pihak berkuasa Malaysia selepas dilapor mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu tempatan dan kedudukan masyarakat Cina ketika berucap pada satu majlis anjuran Kerajaan Kelantan pada 9 Ogos lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Zakir Naik kekal tinggal di Malaysia: Tun M

Artikel Berkaitan:

Sebagai negeri penganjur Jelajah Dr Zakir Naik 2019 di Kelantan, Ahmad juga turut beranggapan berlakunya salah faham terhadap isi perkongsian yang dibuat pada majlis berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV baru-baru ini sehingga tercetusnya desakan sebegitu.

“Bagi kita Dr Zakir adalah seorang individu yang mampu memberikan penjelasan mengenai keindahan dan kebaikan agama Islam,” katanya.

Majlis gotong-royong peringkat Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, Yang Dipertua MPKB-BRI, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusof, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Noor Ihsan Che Mat dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary.