Enam Polis Negeri Sembilan ditahan dalam Op Blue Devil

Mohamad Mat Yusop. Foto Bernama
Mohamad Mat Yusop. Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Enam anggota polis negeri ini ditahan dalam Op Blue Devil yang dijalankan serentak di seluruh negara sejak 13 Ogos lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, anggota berkenaan yang berusia antara 27 hingga 40 tahun itu ditahan kerana didapati positif dadah.

"Sepanjang pemeriksaan yang dilakukan bermula 13 Ogos sehingga semalam hanya enam orang anggota di negeri ini yang ditahan.

"Mereka ditahan selepas ujian air kencing dilakukan mendapati kesemuanya positif dadah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Mohamad berkata, pihaknya memandang serius penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota polis dan operasi berkenaan akan dijalankan secara berterusan supaya ia dapat dibanteras.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dilaporkan berkata, superintendan antara 112 pegawai dan anggota yang ditahan kerana positif dadah dalam Op Blue Devil diadakan.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan operasi itu untuk memastikan tiada lagi pegawai dan anggota terbabit dengan dadah.

Pelancaran Op Blue Devil adalah untuk mengesan dan membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota dan pegawai polis.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, lebih kurang 3,500 pegawai dan anggota PDRM seluruh negara telah menjalani ujian saringan air kencing untuk mengesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan warganya.

ARTIKEL BERKAITAN 'Tidak mustahil Malaysia mampu jadi Colombia'