X

Kindly register in order to view this article
!

'Tidak mustahil Malaysia mampu jadi Colombia'

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador (tengah) pada sidang media selepas merasmikan Majlis Jelajah Autisme: Garis Panduan PDRM, hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan penyalahgunaan dadah di negara ini pada tahap membimbangkan dan usaha menangani perkara itu serius dilaksanakan termasuk usaha membanterasnya dalam kalangan polis.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, jika kes penyalahgunaan dadah di negara ini tidak dibendung, tidak mustahil Malaysia akan menjadi seperti Colombia.

Menurutnya, dalam kalangan polis sahaja untuk tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, kira-kira 30 orang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

"Hampir setiap minggu ada sahaja anggota yang ditahan kerana mengambil dadah terutamanya syabu.

"Jumlah penagih dadah semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia. Orang saya sendiri (anggota PDRM) ditahan setiap minggu kerana terlibat pengambilan syabu.

"Tindakan tegas telah diambil terhadap mereka kerana jika warga PDRM sendiri tidak 'bersih,' bagaimana kita mahu membanteras kegiatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Autisme: Garis Panduan PDRM di Maktab PDRM, hari ini.

Abdul Hamid berkata, dalam tempoh dua bulan lepas polis telah menggiatkan usaha membanteras pelbagai jenayah antaranya judi, dan dadah di seluruh negara.

"Terima kasih kepada polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik kerana serbuan demi serbuan dilakukan, banyak kejayaan telah dihasilkan.

"Ratusan kilogram serta jutaan aset berkaitan penyalahgunaan dadah dirampas dan diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

"Saya percaya selepas ini akan ada banyak lagi kejayaan membanteras penyalahgunaan dadah dihasilkan polis dan usaha itu akan terus dipergiat," katanya.

Abdul Hamid berkata, polis juga sedang mengesan makmal memproses dadah dan akan mengambil tindakan ke atas sindiket dadah terbabit.

"Hari ini polis kesan wujud makmal proses dadah di kawasan rumah teres berbanding sebelum ini sindiket terpaksa menyewa di gudang-gudang tertentu.

"Beberapa tahun lalu dadah adalah musuh nombor satu negara, sekarang apa sudah jadi.

"Tindakan secara holistik perlu dilaksanakan untuk pastikan jenayah dadah dapat dibanteras," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!