Mohon kelulusan gajikan pekerja asing: PPMM

Che Hassan
Che Hassan
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) memohon kerajaan untuk menyegerakan pemberian kelulusan untuk menggaji pekerja asing yang dipercayai masih dibekukan buat masa ini.

Presidennya, Leftenan Kolonel (H) Che Hassan Che Johan berkata, pihaknya merayu kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar kelulusan kepada pengguna, pengusaha kilang dan sektor berkaitan yang memerlukan bantuan menggaji pekerja asing disegerakan.

Menurutnya, kerajaan dilihat telah mengadakan pelbagai kajian dan soal selidik mengenai isu-isu pekerja asing di negara ini, misalnya melalui penubuhan Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing.

"Jawatankuasa berkenaan telah menjelajah melalui puluhan sesi townhall ke seluruh negara untuk mengumpul data dan mengemukakan cadangan penambahbaikan tatacara pengurusan dan pentadbiran pengambilan pekerja asing.

"Bagaimanapun, kita merasakan tiada satu penyelesaian holistik diambil pihak berkaitan sehingga hari ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Disebabkan itu, katanya, industri yang bergantung sepenuhnya dengan tenaga kerja asing kehilangan sumber untuk menampung kos pengoperasian perniagaan mereka dan ramai sudah gulung tikar.

Menurutnya lagi, pihaknya berharap kerajaan dapat memberi sedikit pencerahan mengenai perkara yang sedang melanda industri berkenaan.

Che Johan berkata, sehubungan itu, mereka berharap satu pengumuman dibuat bagi pengambilan pekerja asing secara telus tanpa penglibatan pihak ketiga.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tindakan yang bakal diambil kerajaan berkenaan dilihat akan menjamin bukan sahaja kami malah ekonomi negara secara khususnya.

Pada 8 Ogos lepas, Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata, kerajaan bersetuju dengan cadangan penutupan penggajian pekerja asing untuk sektor seperti tekstil, tukang emas, tukang gunting dan dobi yang telah dibekukan sejak 2009.

Menurut laporan sebuah media, dua persatuan lobi, iaitu Persatuan Dobi Selangor dan Kuala Lumpur (SEKLLAAS) dan Persatuan Dobi Melayu (MULA) pada Rabu merayu agar kerajaan meneliti semula dasar larangan dan pembekuan pengambilan pekerja asing di sektor perkhidmatan dan dobi.