Musa dedah Anwar minta kesnya disiasat pada 1998

Musa (kanan) pada program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Kompleks Karangkraf di sini hari ini.
Musa (kanan) pada program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Kompleks Karangkraf di sini hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang meminta untuk kesnya yang berlaku pada tahun 1998 disiasat.

Musa yang bertindak sebagai antara pegawai polis yang terlibat dalam siasatan kes tersebut turut menyatakan bahawa Anwar yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri sendiri membuat laporan dan meminta beliau untuk menyiasat bahawa dia telah ditohmah.

“Pada mulanya saya terkejut apabila Anwar sendiri memilih saya untuk menyiasat kesnya. Saya tidak tahu kenapa beliau pilih saya, mungkin sebab ada kenal dengan salah seorang keluarga saya.

“Namun dalam jalankan siasatan, tidak kira siapa yang datang untuk ganggu siasatan, saya tidak akan layan. Jika masuk campur, saya kata saya akan tahan, kerana saya mahu adil kepada semua,” katanya pada program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Kompleks Karangkraf di sini hari ini.

Dalam pada itu, Musa mengakui yang beliau turut ditohmah kononnya menerima wang sebanyak RM5 juta melalui akaunnya di Singapura untuk menjalankan siasatan ke atas Anwar kerana arahan Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan kes tersebut, namun ia tidak benar.

“Ia hanya tohmahan dan siasatan pertama ke atas kes tersebut juga pernah diarah untuk tutup. Apabila keluar buku ‘50 dalil (Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri) pula ketika itu, kes tersebut kembali diminta untuk siasat semula,” katanya.

Tambahnya, spekulasi bahawa lantikan beliau menjadi Ketua Polis Negara adalah tanda terima kasih atas siasatan ke atas Anwar itu juga adalah tidak benar.

“Ketika saya jadi Ketua Polis Negara, Perdana Menteri ketika itu adalah Tun Abdulah Ahmad Badawi, jadi bukan tanda terima kasih kepada Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan kita tidak aniaya sesiapa, saya masih berpegang teguh dengan siasatan saya,” katanya.

Mengulas mengenai kebarangkalian Anwar bakal menjadi Perdana Menteri, Musa berkata, ia adalah rezeki Presiden PKR itu.

“Itu rezeki dia (dilantik menjadi Perdana Menteri), kita perlu hormat,” katanya.