Kesemua ADUN Perak perlu isytihar harta

Koo Ham menunjukkan borang pengisytiharan harta berkenaan.
Koo Ham menunjukkan borang pengisytiharan harta berkenaan.
A
A
A

IPOH - Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan serta pembangkang di Perak diharap memberikan kerjasama untuk mengemukakan pengisytiharan harta masing-masing.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, pengisytiharan harta berkenaan dibuat demi memastikan kesemua wakil rakyat berkenaan telus dan tidak terlibat dengan apa jua jenis rasuah.

Menurutnya, pengisytiharan harta itu juga demi menjamin kewujudan sebuah negara, kerajaan serta pemimpin yang bersih dan lebih maju pada masa hadapan.

“Dewan Negeri pada sidang DUN Perak 23 Julai 2019 lalu telah meluluskan usul yang dibawa oleh ADUN Pasir Berdamar, Terence Naidu.

“Usul tersebut dimaklumkan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak dan dimaklumkan pentadbiran Dewan Negeri telah menerima maklum balas bagi penyediaan akuan berkanun berhubung borang pengisytiharan harta ADUN itu.

“Borang pengisytiharan harta berkenaan telah dihantar kepada ADUN secara pos (pos laju) pada 21 Ogos 2019 untuk dilengkapkan sebelum atau pada 23 Oktober 2019 iaitu dalam tempoh tiga bulan usul telah diluluskan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah Koo Ham, kesemua ADUN perlu menghantar dua salinan borang yang telah lengkap diisi kepadanya selaku Yang Dipertua Dewan Negeri manakala satu salinan akan dihantar kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tindakan selanjutnya.

“Maklumat isytihar harta ini akan dipaparkan untuk tempoh masa tiga bulan pada portal SPRM. Untuk itu, saya telah aturkan taklimat pengisytiharan harta pada 28 Ogos 2019 di Casuarina Meru dan akan disampaikan oleh pihak SPRM,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Koo Ham memohon bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang juga ADUN Pangkor untuk menarik balik tuduhan liar yang dipaparkan menerusi ciapan di laman sosial Twitter.

Katanya, tuduhan berkenaan adalah menyedihkan dan diharapkan agar rakyat tidak terkeliru dengan ciapan sedemikian.

“Saya berharap Pangkor mohon untuk tarik balik tuduhan liar beliau yang seperti yang telah dibuat dalam Twitter seperti hari terburuk dalam sejarah sidang DUN Perak.

"Bila Speaker buat keputusan untuk usul isytihar harta kepadanya, kami berhujah untuk isytihar kepada SPRM bukannya Speaker sebab dia orang politik, malah kami syorkan komiti bipartisan untuk bincangkan bersama namun semuanya dilanggar bagai seorang diktator.

“Bagi saya ini tuduhan liar daripada seorang bekas Menteri Besar, memang menyedihkan dan saya harap rakyat tidak terkeliru malah usul ini bukan dibawa oleh saya tetapi oleh ADUN Pasir Berdamar dan diluluskan dalam Dewan Negeri.

“Ciapan ini juga telah telah diulang kicau oleh ADUN Slim, Datuk Khusairi Abu Talib. Diharapkan beliau dapat menarik balik tuduhan berkenaan,” katanya.