Kaji Gojek menerusi sudut perundangan syariah

Syed Taha (kiri) dan Abdul Rahman.
Syed Taha (kiri) dan Abdul Rahman.
A
A
A

KUANTAN - Perkhidmatan teksi motosikal atau Gojek perlu lebih perbincangan terperinci dengan mengambil pandangan pelbagai pihak berkaitan terutama kajian perundangan syariah.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman berkata, daripada satu sudut perkhidmatan itu dilihat boleh menyelamatkan pengguna yang tersekat dalam kesesakan jalan raya ketika waktu puncak dan trafik sibuk.

Menurutnya, namun pelaksanaannya memerlukan langkah perundangan dan penguatkuasaan yang ketat bagi memastikan Gojek lelaki hanya mengambil penumpang lelaki dan begitu sebaliknya.

"Hukum lelaki bersentuhan wanita bukan muhrim apatah lagi naik motosikal bersama adalah haram.

"Bahkan berpelukan semasa menunggang motosikal di khalayak itu boleh didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 35 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 tidak sopan di tempat awam," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, Kabinet bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan Gojek selepas usulnya dibentangkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk melaksanakan program itu.

Abdul Rahman berkata, pelaksanaan Gojek berkemungkinan menimbulkan masalah lain dalam sudut perundangan.

"Kita perlukan penguatkuasaan yang ketat daripada pelbagai sudut dengan melibatkan pelbagai pihak.

Artikel Berkaitan:

"Daripada sudut keselamatan jalan raya juga perlu dinilai. Adakah selamat jika tanpa lorong motosikal yang khas terutama di bandar besar?.

"Bagi saya kita kena ada perbincangan khusus kalau mahu ia dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha berkata, daripada sudut agama dan sosial, cadangan tersebut tidak sesuai untuk dilaksanakan.

Menurutnya, masyarakat tidak perlu mengambil langkah ke belakang untuk dasar dan perancangan mobiliti sedangkan negara sudah maju dengan kenderaan berkereta dan kemajuan pengangkutan awam seperti perkhidmatan bas, Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan sebagainya.

"Saya rasa kita perlukan perbincangan lanjut. Kajian daripada sudut undang-undang perlu diperincikan terlebih dahulu," katanya.