Pemimpin Bersatu Johor dakwa difitnah

Laporan polis yang ditularkan satu kumpulan dalam laman sosial Facebook baru-baru ini. (Gambar kecil: Mazlan Bujang)
Laporan polis yang ditularkan satu kumpulan dalam laman sosial Facebook baru-baru ini. (Gambar kecil: Mazlan Bujang)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mazlan Bujang menafikan dakwaan dirinya mengugut pihak berkuasa untuk tidak menutup kilang-kilang terbabit berhubung kejadian pencemaran di Pasir Gudang seperti yang ditularkan dalam laman sosial Facebook baru-baru ini.

Menurutnya, perkara berkenaan disifatkan fitnah semata-mata dan mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan kredibilitinya sebagai pimpinan parti serta wakil rakyat di negeri ini.

Beliau juga tidak menolak kejadian berkenaan telah dimanipulasi berbanding keadaan sebenar yang berlaku.

"Saya maklum mengenai kejadian ini tetapi ia bukan apa sebenarnya berlaku. Memang saya ada didatangi individu atau pengusaha tetapi mereka ini tiada kaitan dengan kilang-kilang terbabit dengan pencemaran Pasir Gudang.

"Mereka adalah pengusaha kedai cuci kenderaan dan gerai-gerai yang diarahkan tutup oleh pihak berkuasa, kebanyakannya adalah orang tempatan dan juga orang Melayu sendiri.

"Sebagai wakil rakyat Bersatu, menjadi tanggungjawab saya untuk bantu mereka. Jadi, saya hubungi pihak berkuasa mengapa perkara ini (arahan tutup) boleh terjadi, tiada sedikit pun bersifat peribadi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Dakwaan mengaitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa menerusi laman Facebook itu turut menampilkan satu laporan polis dibuat seorang individu yang mengatakan Mazlan telah mengganggu tugas penjawat awam berhubung penutupan kilang-kilang di Pasir Gudang berkenaan.

Mazlan berkata, pihaknya juga akan membuat laporan polis serta menfailkan kes berkenaan di mahkamah dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah satu fitnah, saya akan buat laporan dan bawa perkara ini ke mahkamah," jelasnya.