Ilmuwan Islam pencetus penerbangan

A
A
A

BEBERAPA minggu lalu, isu MH370 dan MH17 kembali menjadi polemik. Sebagai seseorang yang terlibat secara langsung dalam bidang kejuruteraan penerbangan, penulis rasa terpanggil untuk mengupas tentang kapal terbang.

Ramai yang menyangka The Wright Brothers iaitu Wilbur Wright dan Orvile Wright ialah pencipta atau pencetus sejarah penciptaan kapal terbang.

Wilbur dilahirkan di Millvile, Indiana pada 16 April 1867 manakala Orvile di Dayton, Ohio pada 19 Ogos 1871. Mereka dikatakan insan pertama mencipta kapal terbang yang berasaskan kuasa angin yang dikawal pada sayap kekal antara 1904 dan 1905.

Di sini, bermulanya revolusi penciptaan teknologi kapal terbang secara komersil.

Namun ramai yang tidak menyedari bahawa ALLAH SWT telah membayangkan bahawa manusia boleh terbang melayang sejak zaman Nabi Daud AS.

Penciptaan sesuatu kenderaan yang mampu membuat penerbangan berasaskan pergerakan burung yang terbang di atas bukit dan dibaluti dengan besi ini telah dinyatakan dalam al-Quran.

Surah Al-Mulk ayat [67:19] memberi maksud: “Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka?

Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu.”

Artikel Berkaitan:

Ayat di atas telah diperincikan lagi dalam surah Saba’ ayat [34:9-11] dengan menyatakan: “Maka apakah mereka tidak melihat langit dan bumi yang ada di hadapan dan di belakang mereka? Jika Kami menghendaki, nescaya Kami benamkan mereka di bumi atau Kami jatuhkan kepada mereka gumpalan dari langit.

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Tuhan) bagi setiap hamba yang kembali (kepada-Nya).

Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. (Kami berfirman): "Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud dan Kami telah melunakkan besi untuknya, (iaitu) buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya dan kerjakanlah amalan yang soleh. Sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan.” Ibnu Firnas

Sebenarnya ilmuwan Islam telah lama menjadi lilin membakar diri untuk mengupas rahsia penerbangan. Abbas Qasim Ibnu Firnas (810-888) yang hidup pada zaman pemerintahan Khalifah Umayyah di Andalusia (Sepanyol) ialah seorang pakar fizik, kimia dan astronomi yang tidak asing lagi di dalam lipatan sejarah Islam.

Beliau ialah insan pertama yang telah merujuk kepada ayat al-Quran di atas dan mencipta sejarah sebagai manusia pertama yang terbang.

Ibnu Firnas dilahirkan dari kalangan orang Barbar iaitu orang asli Afrika Utara di sebelah timur Lembah Sungai Nil.

Kelompok itu berkembang dari Lautan Atlantik hingga ke Mesir iaitu daripada Lautan Mediterranean hingga ke Sungai Niger sejak abad ketujuh. Ibnu Firnas mencetuskan idea daripada burung yang terbang di udara dengan menggunakan sayap.

Pada 875, Ibnu Firnas mencipta pelayang daripada struktur besi-kayu bersalut kain sutera dan membuat penerbangan pertama dari sebuah menara masjid di Cordova.

Penerbangan kedua juga daripada atas bukit di kawasan yang sama. Beliau terbang seperti seekor burung. Idea rekabentuk alat penerbangan ini telah diabadikan dalam bukunya bertajuk Abbas Bin Firnas and the Origin of Flight.

Keyakinan terhadap penciptaan ini telah dijelaskan oleh ALLAH dalam surah Al-An’aam [6:38]: “Dan tiadalah binatang-binatang yang ada di bumi dan burung-burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan umat-umat (juga) seperti kamu. Tiadalah Kami lupakan sesuatu pun di dalam al-Kitab, kemudian kepada Tuhanlah mereka dihimpunkan.”

Kini, kapal terbang tidak pernah berhenti daripada evolusi teknologinya. Jurutera moden sentiasa mencipta kapal yang lebih canggih dan maju.

Namun sayang masih ramai memuja The Wright Brothers. Walhal tokoh ilmuwan Islam iaitu Ibnu Firnas telah berjaya memulakan formula aerodinamik yang dijadikan konsep asas kepada rekabentuk kapal terbang.

The Wright Brothers hanyalah melengkapkan ciptaan Ibnu Firnas seterusnya menyumbang kepada pelbagai keperluan manusia.

Ibnu Firnas dan The Wright Brothers pencipta kapal pertama tidak lagi dapat disangkal.

Ibnu Firnas ialah pelopor manakala The Wright Brothers pula pelengkap ilmu penerbangan.Sebagai seorang yang sangat meminati bidang kejuruteraan penerbangan, penulis berharap Kerajaan Selangor boleh menjadi peneraju bidang dalam menghasilkan lebih ramai jurutera muda yang bertaraf dunia.

Secara jujurnya, bidang kejuruteraan penerbangan di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding orang Eropah.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor