Teater muzikal Puteri Gunung Ledang di MAPS janji kelainan

Ahmad Faizal (tengah) dan isteri, Dr Nomee Ashikin bergambar dengan para pelakon pada sesi pratonton Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang di Movie Animation Park Studio (MAPS), malam tadi. - Foto Bernama
A
A

IPOH - Pementasan teater muzikal 'Puteri Gunung Ledang-Penolakan Dalam Penerimaan' menjanjikan pengalaman berbeza kepada penonton.

Pengarahnya, Asrulnai Zaini berkata, teater muzikal berkenaan yang akan dipentaskan di Movie Animation Park Studios (MAPS) di sini mulai 30 Ogos hingga 2 September ini memberi nafas baharu kepada kisah legenda Melayu itu.

"Dalam teater ini kita menonjolkan bakat luar biasa dari segi tarian, nyanyian dan lakonan yang ada pada kakitangan MAPS ini," katanya kepada pemberita selepas sesi pratonton teater muzikal 'Puteri Gunung Ledang-Penolakan Dalam Penerimaan' di MAPS, di sini malam tadi.

Hadir menyaksikan pratonton tersebut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi.

Menurut Asrulnai, yang merupakan kakitangan MAPS, lebih 50 orang petugas taman tema itu terlibat dalam teater muzikal berkenaan.

Dalam pada itu, seorang penonton, Mohammad Syafiq Akhir berkata, teater tersebut mudah untuk diterima dan dihayati oleh para penonton sama ada penggemar seni ataupun bukan.

"Walaupun pelakon, pengarah dan seluruh kru produksi bukanlah mereka yang ternama namun secara keseluruhan mereka setaraf dengan kru profesional.

"Jadi tidak terlalu keterlaluan jika dikatakan setiap ringgit yang dibelanjakan berbaloi dan sangat rugi sekiranya orang Ipoh atau negeri Perak sendiri tidak menyaksikan teater ini," katanya.

Tiket bagi menyaksikan teater muzikal 'Puteri Gunung Ledang-Penolakan Dalam Penerimaan' dijual pada harga RM30 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak. - Bernama