Kasta rendah terpaksa turunkan mayat dari jambatan guna tali

Sekumpulan lelaki Dalit menurunkan mayat si mati dari sebuah jambatan selepas mereka dinafikan akses ke sebuah tapak pembakaran mayat.
A
A

CHENNAI - Penindasan golongan kasta atasan terhadap masyarakat Dalit bukan perkara baru di India.

Masyarakat itu yang berjumlah kira-kira 200 juta daripada 1.3 bilion penduduk India adalah yang paling miskin dan disisih oleh kasta lain.

Meskipun dilindungi undang-undang, penindasan ke atas golongan Dalit berleluasa dan mereka sering dinafikan hak untuk mendapatkan pelajaran.

Dalam insiden terbaru di daerah Vellore di Tamil Nadu, sekumpulan lelaki Dalit dinafikan akses ke sebuah tapak pembakaran mayat.

Lebih sadis, mayat yang diusung mereka terpaksa diturunkan dari sebuah jambatan menggunakan tali gara-gara tidak dibenarkan melalui tanah persendirian milik kasta atasan.

Bagaimanapun, polis tempatan mendakwa tiada pihak yang membantah upacara pembakaran mayat berkenaan.

Insiden itu dirakam dan tular di media sosial sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.

"Kira-kira sedekad yang lalu, pemilik tanah daripada golongan kasta atasan telah memagar kawasan itu.

"Tidak mengapalah. Kami mahu laluan baharu atau tapak pembakaran mayat yang dibina khas buat Dalit," kata Vijay, anak saudara lelaki si mati memberitahu NDTV.

Si mati, dikenali sebagai Kuppan, 65, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa hari yang lalu.

Difahamkan, kira-kira 50 keluarga Dalit tinggal di Vellore. Mereka biasanya mengebumikan mayat ahli keluarga yang meninggal dunia di pelbagai lokasi.

Namun bagi kes bukan kematian semulajadi, ia perlu membabitkan proses pembakaran mayat.

Pihak berkuasa kini melancarkan siasatan dan tidak menolak kemungkinan untuk mencari tapak pembakaran mayat lain bagi keluarga si mati menyempurnakan upacara pembakaran mayat.

Sistem kasta di India yang dipercayai berusia lebih 3,000 tahun masih diamalkan secara meluas di kawasan terpencil biarpun perlembagaan India mengharamkan diskriminasi berdasarkan kasta sejak 1950. - Agensi


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia